Sabtu, 13 Februari 2021

Detik cemas 3 pemancing [METROTV]

Mohd Roji Kawi
 
KETIGA-TIGA terbabit masih terperangkap di kawasan itu dengan memanjat pokok bakau bagi mengelak air laut yang semakin naik. FOTO Ihsan PembacaKETIGA-TIGA terbabit masih terperangkap di kawasan itu dengan memanjat pokok bakau bagi mengelak air laut yang semakin naik. FOTO Ihsan Pembaca

Kuching: Keseronokan tiga sahabat memancing di tepi pantai Kampung Trombol, di Telaga Air, di sini, sempena hari cuti umum hari ini bertukar menjadi detik mencemaskan apabila mereka terperangkap di kawasan hutan bakau di tepi pantai berkenaan akibat air laut pasang.

Sehingga 5 petang ini, tiga lelaki terbabit, Azrol As-obeng, 31, Norazi Bahar, 30 dan Mohd Syahril Tomudi, 27, masih terperangkap di kawasan itu dengan memanjat pokok bakau bagi mengelak air laut yang semakin naik.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, tiga lelaki terbabit yang terlalu asyik memancing dipercayai terperangkap sejak 2.30 petang tadi selepas mereka tidak menyedari air laut pasang dengan cepat.

Beliau berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada 2.56 petang tadi dan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dibantu tiga anggota dari BBP Tabuan Jaya dikerah ke lokasi.

"PGO yang berjaya menghubungi salah seorang daripada mereka pada 5 petang dimaklumkan, air laut sudah sampai di tempat tiga lelaki itu berlindung.

"Mereka memanjat pokok bagi mengelak air yang semakin naik dan bomba mengarahkan mereka agar terus kekal di atas pokok sehingga bantuan tiba," katanya.

Beliau berkata, sebuah bot dari BBP Tabuan Jaya, sudah diarah ke lokasi dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) juga sudah dihubungi bagi mendapatkan bantuan berikutan hujan lebat di lokasi ketika ini.

"Anggota dari BBP Petra Jaya pula berjalan menyusuri kawasan pantai dari sebuah chalet yang terletak 2.96 kilometer dari lokasi tiga mangsa terperangkap," katanya.

Sehingga 6 petang, ketiga-tiga mangsa menghubungi bomba dan memaklumkan mereka masih berada di atas pokok, manakala tiga motosikal mereka yang diletakkan di tepi pantai itu sudah ditenggelami air.

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: