Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
'Berpenat-penatlah kamu, sesungguhnya kelazatan hidup terdapat pada kepenatan'
1. KESIBUKAN adalah keperluan manusia. Sibuk sama macam mana pun kita kena makan, minum dan sebagainya. Kesibukan adalah bukti kita wujud dan hidup.
2. Yang menjadikan kita maju adalah kesibukan. Yang menjadikan kita cergas juga adalah kesibukan. Yang menjadikan kita berjiwa besar juga adalah kesibukan. Yang menjadikan kita sentiasa optimis juga adalah kesibukan. Dan yang paling penting, yang menjadikan kita manusia yang ada harga dan nilai juga adalah kesibukan.
3. Sibuk atau tidak, kita yang akan tentukan dan pilih. Dalam setiap fasa hidup, kita sentiasa ada peluang untuk menyibukkan diri. Masa muda, kita boleh buat macam-macam sebab kita kuat dan ada kecukupan. Masa tua, kita boleh sibukkan diri dengan komuniti setempat. Masa sakit, kita mungkin masih boleh sibukkan diri dengan rawatan dan terapi kesihatan. Masa tiada duit, kita mungkin boleh sibukkan diri dengan berniaga kecil-kecilan. Dan begitulah seterusnya.
4. Kenapa kita perlu sentiasa sibukkan diri? Kerana bila kita kosong, macam-macam masalah akan timbul. Akhirnya kita menjadi manusia yang sentiasa bersikap negatif dan pesimis.
5. Bila masa kosong, kita akan mula tenggelam dalam perkara harus. Kita akan mula menonton TV secara berlebihan. Layan movie (walaupun movie Islamic) secara berlebihan. Layan media sosial secara berlebihan. Tenggelam di dalam perkara harus termasuk di dalam sifat yang dikeji menurut sebahagian ulama.
6. Bila banyak masa kosong, badan kita tidak cukup penat kerana kurang aktiviti. Tidur pun tidak akan lena kerana badan sentiasa dalam keadaan rehat yang panjang. Jiwa jadi gelisah tidak ketahuan kerana jemu dengan aktiviti rutin ringan.
7. Bila kita banyak masa kosong, kita akan banyak bermonolog, mengenang nasib diri, mengandai itu dan ini. Kita akan mula berkhayal dan hidup dalam imaginasi yang tidak membawa kita ke mana-mana.
8. Bila masa kosong terlalu banyak, otak kita akan berhenti berkembang sebab tidak banyak digunakan. Otak tidak diasak untuk berfikir. Dengan itu potensi untuk menjadi nyanyuk akan meningkat.
9. Bila kita mula banyak masa kosong, kita akan jadi manusia yang sensitif. Ini kerana kita mula melayan semua benda kecil yang berlaku di sekeliling kita. Orang yang sibuk tak sempat untuk melihat semua benda yang lalu depan matanya.
10. Bila banyak masa kosong, kita mungkin akan kehilangan pandangan hormat dari rakan-rakan. Mereka akan melihat kita sebagai manusia pasif yang tidak ada matlamat hidup. Hidup hari-hari ikut sahaja apa yang berlaku.
11. Masa kosong yang banyak juga akan menjadikan kita tidak lasak. Terlalu terperangkap dengan rutin dan tak mudah untuk menerima perubahan mendadak pada jadual hidup. Sedangkan hidup sebenarnya penuh dengan kejutan.
12. Kelazatan sibuk melebihi kelazatan masa kosong. Imam Syafie pernah menasihatkan:
وانصب فان لذيذ العيش في النصب
“Berpenat-penatlah kamu kerana sesungguhnya kelazatan hidup terdapat pada kepenatan.”
13. Berehatlah semata-mata untuk mencari tenaga bagi melakukan aktiviti seterusnya. Al-Quran memberi panduan bahawa sesudah selesai dari satu pekerjaan mestilah dituruti dengan melakukan pekerjaan lain.
فإذا فرغت فانصب
“Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain).” (Asy-Syarh: 7)
(*) Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni - Timbalan Presiden Isma
Tiada ulasan:
Catat Ulasan