PUTRAJAYA: Amalan gaya hidup sihat dan menjalani saringan antara usaha wajar dilakukan bagi mencegah serta mengawal penyakit kanser, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata, sama seperti penyakit kronik lain, kanser juga mempunyai faktor risiko yang sama iaitu satu pertiga kematian dikaitkan dengan berat badan berlebihan, kurang makan buah-buahan dan sayur-sayuran, kurang melakukan aktiviti fizikal, pengambilan tembakau atau merokok serta alkohol.
"Pengambilan tembakau adalah faktor risiko paling penting untuk kejadian kanser yang menyumbang kepada 22 peratus kematian akibat kanser.
"Sebagai langkah pencegahan, Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa komited menggalakkan orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat.
Dr Noor Hisham berkata, pengesanan awal dan rawatan cepat serta berkesan memberi peluang baik pesakit untuk sembuh.
Beliau berkata, perhatian sewajarnya perlu diberikan berikutan peratus keseluruhan kes kanser dikesan lewat (tahap tiga dan empat) didapati meningkat dari 58.7 peratus pada 2001 hingga 2011 kepada 63.7 peratus pada 2012 hingga 2016.
Susulan itu, katanya, orang ramai diminta melakukan ujian saringan dan dinasihatkan mengenali tanda serta gejala awal kanser.
"KKM menyediakan perkhidmatan saringan kanser payudara, kolorektal, serviks dan mulut di seluruh negara secara percuma, selain perkhidmatan saringan kanser di fasiliti swasta dengan kadar bayaran tertentu.
"Mereka yang disahkan menghidap kanser pula perlu mendapatkan rawatan segera di hospital. KKM prihatin dengan kesihatan pesakit kanser terutama ketika pandemik COVID-19 kerana mereka mempunyai sistem daya tahan yang rendah berbanding orang lain dan lebih berisiko mendapat jangkitan serius," katanya.
Justeru, Dr Noor Hisham berkata, KKM mengambil langkah kawalan ketat di semua fasiliti kesihatan bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan ketika janji temu dan rawatan pesakit kanser serta memastikan mereka menerima rawatan sewajarnya mengikut jadual ditetapkan.
Pada masa sama, katanya, sambutan Hari Kanser Sedunia pada 4 Februari bertujuan mengajak orang ramai menyokong dan mengambil bahagian dalam usaha mencegah serta mengawal penyakit kanser.
Beliau berkata, tiga jenis kanser paling kerap berlaku di Malaysia adalah kanser payudara (19 peratus) diikuti kanser kolorektal atau usus besar (13.5 peratus) dan kanser paru-paru (9.8 peratus).
"Kanser kolorektal paling kerap berlaku (16.9 peratus) dalam kalangan lelaki dan kanser payudara pula membabitkan wanita (33.9 peratus).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan