KUALA LUMPUR: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi bercadang untuk membuka pejabat Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) di Jeddah, Arab Saudi bagi memperluas pasaran minyak sawit Malaysia ke benua Afrika dan Timur Tengah.
Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata pejabat MPOC di Jeddah akan dijadikan hab pemasaran memandangkan ada permintaan baharu dari Kenya, Ethiopia serta negara Asia Barat.
"Saya sudah membuat perbincangan dengan kedutaan Arab Saudi sebelum ini (berkenaan cadangan tersebut)...maka untuk itu, kita perlu menguar-uarkan kebaikan serta kelebihan minyak sawit Malaysia supaya semua pihak dapat mengetahui kualiti premium sawit kita," katanya ketika menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara bagi mengupas tajuk 'Sawit Anugerah Tuhan' yang disiarkan Bernama TV malam tadi.
Beliau berkata, pada masa sama, terdapat peningkatan permintaan minyak sawit dari Arab Saudi bagi tujuan penghasilan pensanitasi tangan dan sabun dalam tempoh penularan pandemik COVID-19.
Industri sawit mempunyai masa depan yang sangat cerah memandangkan komoditi itu bukan sahaja digunakan sebagai minyak masak malah dalam industri farmaseutikal di dalam dan luar negara, katanya.
Mohd Khairuddin berkata, KPPK akan melancarkan kempen maya bertemakan 'Sawit Anugerah Tuhan' hari ini untuk mempromosikan kemampanan industri minyak sawit Malaysia di dalam dan luar negara dengan menggunakan elemen pendidikan melalui media sosial, tarikan visual dan nilai estetika.
Kempen itu akan berlangsung di FB Live MPOC dan laman sesawang www.sawit.com.my.
"Kempen ini juga bertujuan menangkis kempen antiminyak sawit yang bertujuan memburuk-burukkan imej minyak sawit serta menggugat tanggapan umum mengenainya," katanya.
Beliau berkata, industri minyak sawit menyumbang RM72.8 bilion kepada pendapatan negara melalui eksport minyak sawit dan produk berasaskannya ke pasaran antarabangsa pada tahun lepas.
"Jumlah ini jauh lebih tinggi, iaitu kira-kira 14.18 peratus lebih tinggi berbanding dengan RM63.73 bilion yang dicatatkan pada 2019," katanya.
Mengenai isu diskriminasi terhadap minyak sawit oleh negara-negara Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat, beliau berkata Malaysia sudah memohon konsultasi melalui Mekanisme Penyelesaian Pertikaian dan membawa EU ke meja pengadilan di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
"Kita sudah mengemukakan kes pada 15 Januari lalu manakala Indonesia juga melakukan langkah tersebut lebih awal pada 2019.
Kita membawa isu ini kepada WTO dan menunggu mesyuarat di Geneva yang akan berlangsung pada April ini," katanya. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan