Khamis, 4 Februari 2021

Bekas pemandu bas dihukum gantung sampai mati

JOHOR BAHRU: Seorang bekas pemandu bas kilang dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini atas kesalahan membunuh teman wanitanya, lima tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Dr Shahnaz Sulaiman, menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati, pihak pembelaan yang mewakili tertuduh, M Siva Sangker, 37, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Tertuduh kelihatan tenang sejurus keputusan dibuat dan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Tamil oleh jurubahasa mahkamah.

Sepanjang prosiding, pihak pendakwaan memanggil seramai 23 saksi dan tiga saksi pembelaan untuk memberi keterangan berhubung kes itu.

Mengikut pertuduhan, Siva didakwa membunuh V Durga Devi , 23, di Jalan Kancil 1, Taman Scientex, Pasir Gudang, di sini, jam 12.15 tengah hari, pada 21 November 2016.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd Ghazali dan Suriani Ujang, manakala tertuduh diwakili peguam GK Sritharan.

Pada 23 November 2016, akhbar melaporkan seorang wanita maut ditetak lelaki dikenalinya di tepi jalan yang dipercayai bermotifkan dendam atau cemburu.

Mangsa yang bekerja sebagai pekerja pembersihan di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura mati di tempat kejadian akibat parah di kepala, leher dan kedua-dua belah tangan.

Tiada ulasan: