Ahad, 14 Februari 2021

Baca kenyataan lisan, bertulis saya sampai habis, fahamkan! kata Ayob Khan kepada NGO

Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay menafikan polis menembak mati 
empat penjenayah terbabit untuk menghalang mereka daripada melarikan diri. 
(Gambar Bernama)

JOHOR BAHRU: Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay menasihati badan bukan kerajaan (NGO) supaya membaca dan memahami kenyataannya terlebih dahulu sebelum membuat sebarang dakwaan.

Beliau menegaskan perkara itu susulan kenyataan Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (EDICT) yang mempersoalkan tindakan polis menembak mati empat suspek samun dalam kejadian di Batu Pahat, kelmarin.

Ayob sudah membaca kenyataan EDICT sepintas lalu dan menafikan polis menembak mati empat penjenayah terbabit untuk menghalang mereka daripada melarikan diri.

“Tidak timbul soal lari, penjenayah yang melepaskan tembakan dahulu kepada kita (polis), dia (NGO) ingat kita lepaskan tembakan sebab hendak halang mereka (penjenayah) lari.

“Suruh mereka (NGO) baca dahulu kenyataan lisan dan bertulis saya sampai habis baru faham,” katanya ketika dihubungi FMT.

Ayob berkata, beliau kini sedang menunggu laporan penuh berkaitan cap jari sebelum satu kenyataan akan dikeluarkan dalam masa terdekat mengenai kes itu.

Semalam, EDICT menggesa Ayob merujuk semula Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) mengenai prosedur operasi standard (SOP) melepaskan tembakan ketika menahan suspek.

EDICT juga merujuk SOP polis dalam melepaskan tembakan seperti dinyatakan dalam PTKPN D222.

Kelmarin, empat lelaki dipercayai suspek jenayah samun, mati selepas berbalas tembakan dengan polis yang turut menyaksikan seorang pegawai pasukan keselamatan itu cedera ditikam dalam kejadian di Jalan Pagoh-Parit Sulong.

Ayob berkata, dalam kejadian 3.15 pagi itu, sepasukan pegawai dan anggotanya menahan sebuah Toyota Avanza dan Perodua Myvi, masing-masing dinaiki dua lelaki, yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, ketika polis mahu membuat pemeriksaan, pemandu dan penumpang Toyota Avanza bertindak agresif dengan pemandunya mengeluarkan pistol dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis.

Tiada ulasan: