Ahad, 14 Februari 2021

Pengusaha majlis perkahwinan tertekan, ada nyaris bunuh diri – Zarinah

MGF17112020_PPMPM-5
Presiden Persatuan Pengusaha Majlis Perkahwinan Malaysia (PPMPM), Zarinah Mohideen.

KUALA LUMPUR – Pelbagai masalah termasuk perundangan yang dihadapi oleh pihak pengusaha majlis perkahwinan dan pengusaha yang terbabit  dalam industri perkahwinan selepas operasi mereka tidak dibenarkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 13 Januari lalu.

Persatuan Pengusaha Majlis Perkahwinan Malaysia (PPMPM), Zarinah Mohideen berkata, golongan itu kini berdepan rungutan daripada para pelanggan, bayaran pampasan yang dituntut semula dan tidak terkecuali saman telah menjadi bebanan besar kepada para pengusaha.

Jelas beliau, permasalahan yang berlaku menyebabkan mereka menanggung kerugian sekaligus menyebabkan peningkatan kes di Tribunal Pengguna.

“Kadar permintaan pelanggan untuk pemulangan bayaran dan juga deposit meningkat 200 peratus dan tidak tertampung oleh kami kerana kadar permintaan tempahan adalah kosong peratus atas faktor larangan beroperasi dan sekatan PKP tetapi pelanggan masih menuntut pembayaran semula deposit mereka.

“Sebab itu terdapat segelintir pengusaha yang kini dikejar ah long hingga ada yang mahu membunuh diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zarinah mengulas nasib yang menimpa seorang peniaga katering yang ketika ini hidup tertekan kerana dihantui panggilan telefon dan mesej berunsur ugutan daripada ah long.

Peniaga yang mahu dikenali sebagai Dahari itu meluahkan keresahannya apabila dia mula diganggu ah long sejak Khamis lalu kerana gagal membayar hutang yang dibuatnya sejak bulan Januari.

Mengulas lanjut, Zarinah mengakui penutupan operasi industri telah memberikan impak besar daripada segi emosi dan mental untuk mereka mengharungi musim pandemik dan dalam masa yang sama, pengusaha perlu memastikan perniagaan yang telah dibina bertahun-tahun itu dipertahankan.

Kesan daripada masalah itu telah memberi tekanan yang teruk kepada beberapa pengusaha malah mereka juga ada menyatakan hasrat untuk membunuh diri, gangguan emosi, tekanan perasaan, dan banyak lagi, katanya.

Menurutnya, isu itu merupakan amaran yang jelas di mana berlaku perubahan ketara dan gangguan emosi dan mental yang sangat membimbangkan jika keadaan industri perkahwinan masih lagi kekal ditakuk yang sama.

“Oleh itu, kami berharap agar kerajaan dapat memberikan kami peluang serta ruang dengan membenarkan industri perkahwinan dibuka semula dengan pematuhan SOP yang ketat sebagaimana yang pernah dilaksanakan sebelum ini.

“Kami berbesar hati untuk mematuhi sebarang perubahan pelaksanaan SOP yang ditetapkan oleh kerajaan sekiranya industri perkahwinan dibenarkan beroperasi semula,” katanya.

Zarinah memberitahu, PPMPM juga telah menghantar permohonan rasmi pembukaan semula industri perkahwinan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dipertimbangkan. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: