PETALING JAYA: Seorang wanita terkejut selepas melihat kucing peliharaanya ditemui mati dalam keadaan menyayat hati apabila keempat-empat kakinya dipercayai dipotong dalam kejadian di Taman Harmonis, Gombak.
Difahamkan, kucing manja yang dipanggil “Cantik” itu sedang bunting ketika dibunuh, ditemui dalam kotak ditutup dengan kertas surat khabar.
Memetik laporan Kosmo, pemilik kucing Mur Salina Junaidi, 20, berkata kejadian itu diketahui selepas dimaklumkan ahli keluarganya.
“Saya bela ‘dia’ sejak dua tahun lalu dan diberi nama Cantik. Saya tidak sangka ada orang tergamak melakukan perkara kejam seumpama ini.
“Saya juga telah membuat satu laporan polis berhubung kes ini di Balai Polis Gombak semalam bagi memastikan individu bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Kisah mengenai “Cantik” mendapat perhatian warganet selepas tular gambar dan video berdurasi 6 saat memaparkan bangkai seekor kucing betina tanpa kaki.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Arifai Tarawe berkata kes akan dirujuk ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Shah Alam.
“Semua kes melibatkan penganiayaan terhadap haiwan disiasat oleh jabatan tersebut,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan