Isnin, 22 Februari 2021

57 pegawai, anggota polis iringi penghantaran vaksin ke Perak

Oleh ASLIZA MUSA
MIOR Faridalathrash Wahid ditemui pemberita selepas melawat memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson di Ipoh hari ini.

IPOH: Polis Perak menggerakkan lima pegawai dan 52 anggota bagi membantu kelancaran perjalanan untuk membawa dos vaksin fasa pertama dari Bayan Lepas, Pulang Pinang ke negeri ini pada Rabu ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, 20 unit kereta peronda polis (MPV) dan 12 buah motosikal trafik berkuasa tinggi akan mengiringi trak DHL Express yang membawa vaksin Covid-19 ke empat tempat penyimpanan di negeri ini.

“Kenderaan membawa vaksin itu akan diiringi terus ke tempat penyimpanan iaitu di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh, Hospital Teluk Intan, Hospital Taiping dan Hospital Angkatan Tentera (HAT) di Lumut.

“Pegawai dan anggota polis daripada empat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) iaitu Ipoh, Taiping, Manjung dan Hilir Perak terbabit dalam mengiringi vaksin berkenaan bagi memastikan ia tiba di lokasi ditetapkan dengan selamat,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson di sini bagi memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 sempena peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang bermula hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya akan memberi sokongan penuh kepada Kementerian Kesihatan dalam memastikan vaksin tersebut selamat sampai ke negeri ini.

Katanya, lebih 33,000 petugas barisan hadapan di negeri ini akan menerima suntikan tersebut di mana 10,924 orang merupakan warga polis Kontinjen Perak melibatkan pelbagai elemen PDRM.

“Kita telah pun menghantar senarai nama pegawai dan anggota untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19, namun, bukan semua akan dapat bagi fasa pertama ini. 

“Saya difahamkan untuk petugas barisan hadapan hanya 33,000 orang akan diberi suntikan dan selebihnya akan menerima pada fasa kedua dan ketiga,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menerusi laporan akhbar semalam, Perak dijangka menerima 79,560 dos vaksin Covid-19 fasa pertama menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Sebanyak 49 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) disediakan di seluruh negeri bagi fasa pertama termasuk di Stadium Indera Mulia di sini. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: