Isnin, 1 Februari 2021

4,214 kes baru Covid-19, 10 kematian

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan melaporkan 4,214 kes baru Covid-19 dalam tempoh 24 jam lalu berbanding 5,298 kes sehari sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, seramai 4,280 pesakit sembuh dalam tempoh sama, menjadikan 170,329 kes pulih daripada keseluruhan 219,173 kes Covid-19.

Daripada jumlah kes baru itu, 4,205 kes penularan tempatan dan sembilan lagi kes import.

Sepuluh kematian yang dicatatkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif 770 kematian.

Terdapat 48,074 kes aktif ketika ini, dengan 137 daripada 316 pesakit di unit rawatan rapi memerlukan bantuan pernafasan.

Hisham berkata, Selangor melaporkan kes baru tertinggi sebanyak 1,362 kes (32.3%).

“Daripada jumlah ini, sebanyak 967 kes (71%) daripada kluster dan saringan kontak rapat.

“Ini diikuti Johor sebanyak 1,068 kes (25.3%) dan Kuala Lumpur sebanyak 702 kes (16.7%),” katanya dalam kenyataan.

Ia disusuli Sabah (276), Perak (193), Pulau Pinang (119), Sarawak (105),  Negeri Sembilan (91), Melaka (85), Kelantan (57), Pahang (54), Kedah (47), Terengganu (38), Putrajaya (10) dan Labuan (7).

Beliau berkata, Perlis tidak melaporkan sebarang kes baru hari ini.

Sebanyak 115 kes (2.7%) yang dilaporkan berkaitan kluster di lokap, depot tahanan imigresen dan penjara membabitkan Tembok Taiping (81), Tembok Renggam (25), Tembok Mempaga (7), Tembok Sungai Udang (1) dan Tembok Kemus (1).

Hisham berkata, semua kematian hari ini membabitkan warganegara berusia 26 hingga 87, dengan semua kecuali dua mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, jantung dan buah pinggang kronik.

Katanya, tiga daripadanya kematian itu berlaku di Negeri Sembilan dan masing-masing satu kematian di Johor, Labuan, Sarawak, Selangor, Perak, Melaka dan Terengganu.

Tiada ulasan: