Isnin, 1 Februari 2021

Kembalikan Talian Nur untuk selamatkan kanak-kanak didera, gesa Suhakam

Noor Aziah Mohd Awal berkata, Talian Nur dikhususkan untuk kanak-kanak dan 
dikendalikan kakitangan terlatih, tetapi selepas dinamakan sebagai Talian Kasih, 
ia menjadi talian umum yang dikendalikan operator.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa kerajaan mengembalikan Talian Nur yang dikhususkan untuk kanak-kanak dan dikendalikan kakitangan terlatih, susulan kematian seorang kanak-kanak tujuh tahun yang dipercayai akibat didera.

Pesuruhjaya Kanak-kanak Suhakam, Noor Aziah Mohd berkata, Talian Kasih yang ada hari ini tidak mempunyai talian khusus seperti itu.

“Kerajaan juga hendaklah memfokuskan usaha yang lebih bagi menjamin keselamatan kanak-kanak, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman,” katanya dalam kenyataan.

Noor Aziah ketika dihubungi berkata, Talian Nur diwujudkan khas untuk kanak-kanak dan dikendalikan kakitangan terlatih dengan kelayakan psikososial.

“Apabila ia dinamakan semula kepada Talian Kasih, ia menjadi talian umum dan panggilan dijawab operator.”

Katanya, Talian Kasih 15999 dan nombor WhatsApp 019-2615999 hendaklah dipromosikan melalui semua bentuk platform media sosial, televisyen, radio, papan iklan di semua tempat awam, termasuk lebuh raya, masjid, kuil, sekolah, hospital, pasar raya, stesen bas dan kereta api.

“Sangat mengecewakan apabila mengetahui ramai kanak-kanak yang tidak dapat hidup dalam persekitaran selamat.”

Jumaat lalu, seorang kanak-kanak lelaki tujuh tahun maut di rumahnya di Taman Krubong Jaya, dipercayai akibat didera ibu kandung dan bapa tirinya.

Polis dilaporkan berkata, kanak-kanak malang itu didakwa lemas di dalam tong air rumahnya dalam kejadian kira-kira 4 petang, namun siasatan awal polis mendapati ada kecederaan fizikal pada badan mangsa.

Susulan itu, pasangan suami isteri berusia 32 dan 38 tahun itu direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes itu.

Mangsa sebelum itu pernah dijaga keluarga angkatnya di Rawang, Selangor, sejak beliau kecil sebelum ibunya kembali mengambilnya Oktober tahun lalu.

Noor Aziah berkata, penting untuk semua keluarga angkat mendaftarkan diri dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Hal ini untuk membolehkan JKM memantau keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak serta memberi nasihat bersesuaian, sekiranya ibu bapa kandung ingin mengambil kembali anak mereka untuk dijaga.

“Walaupun pengambilan anak pelihara amat digalakkan, JKM hendaklah menyediakan prosedur sesuai kepada mereka yang ingin berbuat demikian bagi melindungi kanak-kanak, sekiranya penjaga yang sah (ibu bapa kandung kanak-kanak) ingin mengambil semula kanak-kanak untuk dijaga.”

Tiada ulasan: