Isnin, 22 Februari 2021

20,000 pemandu teksi, kereta sewa dapat bantuan RM500

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM
 

PUTRAJAYA: Seramai 20,000 pemandu teksi dan kereta sewa menerima bantuan kewangan one-off sebanyak RM500 yang mula dikreditkan ke dalam akaun mereka hari ini.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah penerima itu antara 110,000 pemandu teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan kenderaan e-hailing sepenuh masa yang akan menerima bantuan tunai tersebut melibatkan jumlah keseluruhan RM55 juta.

Menurut beliau, baki seramai 15,000 penerima lagi akan memperoleh bantuan tersebut secara berperingkat selewat-lewatnya 15 Mac ini.

“Selebihnya 75,000 penerima termasuk pemandu e-hailing, bas sekolah dan bas persiaran akan mula menerima bantuan tersebut secara berperingkat mulai 26 Februari ini,” katanya dalam kenyataan.

Tengku Zafrul berkata, bantuan one-off itu diumumkan kerajaan melalui Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) pada 18 Januari lalu.

Jelas beliau, kerajaan berharap agar bantuan itu akan membantu golongan tersebut sementara Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dilaksanakan.

“Ia tentunya melambangkan titik permulaan bagi pemulihan sektor pelancongan dan sektor-sektor lain yang amat terkesan oleh pandemik Covid-19,” katanya. UTUSAN

Tiada ulasan: