7 vaksinator akan disediakan di setiap 600 lokasi vaksinasi
KULAI – Sebanyak 126,000 orang dijangka mampu diberikan suntikan vaksin COVID-19 dalam sehari di lokasi vaksinasi di seluruh negara bermula akhir bulan ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.
Katanya, tujuh vaksinator akan disediakan di setiap 600 lokasi vaksinasi di sekitar komuniti merangkumi klinik kesihatan, hospital awam dan swasta.
“Kita telah dimaklumkan bahawa Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan dimulakan 26 Februari ini, yang mana di peringkat Kementerian Kesihatan (KKM) kita menyediakan 600 tempat pemberi vaksin di seluruh negara.
“Tujuh vaksinator mampu menyuntik vaksin COVID-19 kepada seramai 30 penerima setiap hari, bermakna bagi setiap lokaliti atau kawasan, melibatkan 210 penerima vaksin mampu disuntik sehari,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Operasi Bersepadu Jabatan Kesihatan Negeri Johor bersama Jabatan Tenaga Kerja Negeri Johor bagi melakukan pemeriksaan di asrama pekerja asing di Jalan Seelong, Senai, di sini hari ini.
Dr Adham berkata fasa pertama penerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech, mulai hujung bulan ini hingga April, melibatkan golongan petugas barisan hadapan meliputi anggota KKM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam serta sektor-sektor tertentu.
Fasa kedua pada Mac pula melibatkan golongan yang berisiko termasuk mereka yang berumur 60 tahun ke atas dan kumpulan dilindungi seperti menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis dan sebagainya.
“Mereka kena isi dokumen sama ada dimuat turun menerusi aplikasi MySejahtera atau kita dapatkan pasukan petugas untuk hantar secara manual seminggu sebelum divaksin, jadi mereka tidak perlu tunggu lama di kaunter tempat vaksinasi.
“Cuma kita ada saringan sama ada mereka bersetuju atau tidak dan kita akan pastikan bahawa dalam masa mereka dapatkan vaksinasi itu, mereka akan diberi jadual dan bukannya datang serentak,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Adham berkata pekerja warga asing khsususnya dalam kalangan petugas barisan hadapan seperti doktor, ahli farmasi dan pergigian akan menerima suntikan vaksin percuma.
“Ada warga asing yang menetap di Malaysia bekerja sebagai doktor, ahli farmasi dan pergigian, bagaimanapun, kita akan mengutamakan Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan kepada rakyat tempatan dahulu sebelum meneliti warga asing bekerja dalam sektor berisiko lain,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tenggara itu turut menafikan tanggapan orang ramai berhubung berlakunya masalah kelewatan dalam pengagihan vaksin COVID-19 kepada rakyat.
“Ramai orang anggap berlaku masalah bekalan di Eropah tetapi saya bagi jaminan, pembekalan untuk Malaysia, saya dapat “secure” lot-lot yang diperlukan untuk kita jalankan pelan imunisasi,” katanya. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan