110 keluarga di Kampung Kurnia, Tawau terima sumbangan dari Yayasan Ikhlas
BANGI – Tiga petugas media yang menyertai Misi Pek Ikhlas di Sabah nyaris maut selepas jambatan kayu usang di Kampung Kurnia, Tawau runtuh.
Pengerusi Pemegang Amanah Yayasan Ikhlas, Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin berkata, insiden berlaku pantas dan hanya menyedari selepas terdengar bunyi kayu patah sebelum ketiga-tiga petugas media dilihat sudah berada di dalam air.
Difahamkan, tiada kecederaan serius dilaporkan akibat insiden itu.
“Tiba-tiba terdengar bunyi kayu patah di belakang, dan kelihatan tiga orang rakan media saya telah berada di dalam air setelah jambatan yang dilalui itu patah.
“Rakan media dari TV Hijrah, RTM dan TV Pertiwi kelihatan basah kuyup, bahkan kamera dan komputer riba mereka jatuh ke dalam air.
“Namun mereka kekal ceria dan terus bersemangat untuk meneruskan misi ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Peristiwa itu turut dikongsikan Pegawai Operasi Yayasan Ikhlas, Syafiq Syahmi dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
“Jambatan runtuh betul-betul belakang saya. Orang kampung kata mujur tidak tertusuk kayu bakau itu. Kalau ya, habis mati.
“Jambatan sini kerap runtuh, bila runtuh bina balik. Begitulah kami. Sedih bila dengar cerita mereka,” katanya.
Syafiq berkata, Yayasan Ikhlas hari ini menyampaikan bantuan kepada 110 keluarga di kampung itu, selain sejumlah wang untuk pembinaan semula jambatan yang lebih baik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan