GUA MUSANG: Tiga wanita Orang Asli dari Pos Gob, di sini yang dijadual bersalin tidak lama lagi diterbangkan ke Hospital Gua Musang menggunakan helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), hari ini.
Rajem Anjang, 27; Saiyana Embah, 24, dan Subaidah Angah, 26, dilaporkan terperangkap di kampung mereka selepas jalan balak rosak teruk akibat musim bah baru-baru ini dan masih belum boleh dilalui semua jenis kenderaan.
Pegawai Perhubungan Awam Pangkalan Udara JBPM Subang, Selangor, Penolong Penguasa Bomba, Mohd. Farhan Marzuki berkata, situasi dihadapi pesakit dilaporkan kepada pihaknya oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).
Sehubungan itu, JBPM mengambil tindakan segera dengan melakukan penerbangan Medical Evacuation (Medevac) bagi membantu tiga wanita terbabit.
“Penerbangan bermula pada pukul 9.30 pagi dan tiba di Pos Gob pada pukul 10.45 pagi untuk mengambil pesakit.
“Pada pukul 11 pagi, ketiga-tiga pesakit bersama suami masing-masing berjaya mendarat di perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang sebelum dibawa ke hospital,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd. Farhan berkata, penerbangan menaiki helikopter Agusta 109 E dikendalikan juruterbang, Timbalan Penguasa Bomba II, Mohd. Faizal Abd. Latif dan dibantu penolong juruterbang, Penolong Penguasa Bomba, Fazli Ezham Jamil serta seorang lagi anggota.
Setakat ini katanya, tiga pesakit berkenaan masih dalam pengawasan doktor dan dilaporkan belum bersalin.
“Pihak kami sentiasa membantu masyarakat Orang Asli yang sakit untuk dihantar ke hospital bagi menerima rawatan kerana lokasi mereka yang tinggal jauh dengan kawasan bandar serta jalan perhubungannya sering rosak,” katanya. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan