Sabtu, 16 Januari 2021

Banjir Pahang: 5,751 mangsa masih di 76 PPS

KUANTAN: Mangsa banjir di Pahang semakin menurun kepada 5,751 orang daripada 1,599 keluarga di 76 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah, setakat jam 8.30 pagi ini.

Berbanding petang semalam, portal info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan 6,444 orang daripada 1,776 keluarga yang ditempatkan di 86 PPS.

Berdasarkan rekod, Pekan mencatatkan jumlah paling ramai iaitu 2,928 mangsa daripada 832 keluarga; diikuti Maran dengan 1,337 mangsa (388 keluarga) dan Kuantan seramai 849 mangsa (195 keluarga).

Di Temerloh pula membabitkan 392 mangsa daripada 117 keluarga dan Bera 245 mangsa(67 keluarga).

Sementara itu, laporan infobanjir.water.gov.my turut memaklumkan dua sungai masih melepasi paras bahaya iaitu Sungai Jelai, di Jeram

Bungor, Lipis dan Sungai Pahang di Serambi (Paloh Hinai), Pekan manakala Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran pula melepasi paras amaran.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan notis angin kencang timur laut melebihi 60 kilometer sejam dengan ombak setinggi melebihi 4.5 meter dijangka berlaku di perairan Pahang, hari ini.

Tiada ulasan: