Sabtu, 16 Januari 2021

Skim MySalam telah dimansuhkan? .

stevensim
Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bukit Mertajam bertanya adakah Kerajaan Perikatan Nasional (PN) secara diam-diam tidak lagi memberikan perlindungan MySalam kepada kumpulan M40.

Steven Sim Chee Keong  melontarkan pertanyaan itu selepas laman web MySalam tidak lagi menyenaraikan M40 sebagai penerima MySalam.

”Adakah ini bermakna Kerajaan PN secara diam-diam tidak lagi memberikan perlindungan MySalam kepada kumpulan M40?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Skim MySalam telah diperkenalkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan – satu skim takaful (insurans) percuma kepada kumpulan B40 dan M40.

Skim ini memberikan perlindungan sehingga RM8,000 untuk penyakit kritikal dan pampasan RM50 sehari sehingga 14 hari jika terpaksa diwadkan di hospital dan memperluaskan perlindungan penerima MySalam untuk merangkumi penyakit Covid-19.

Dari Januari 2020 sehingga Julai 2020, seramai 2,124 orang pesakit Covid-19 telah berjaya membuat tuntutan MySalam dengan pembayaran sebanyak RM1.3 juta.

Sim berkata, jika benar, kerajaan digesa memulihkan semula perlindungan takaful percuma MySalam kepada kepada kedua-dua kumpulan B40 dan M40.

Tegasnya, sekarang bukan masanya untuk mengurangkan perlindungan kesihatan kepada rakyat Malaysia, sebaliknya manfaat MySalam juga patut diperluaskan untuk merangkumi perkhidmatan 3T Covid-19 di hospital kerajaan dan swasta.

Dengan ini, ia dapat mengurangkan beban rakyat dan juga beban kewangan kerajaan terutamanya apabila terpaksa mendapatkan perkhidmatan di hospital swasta.

Menurutnya, apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengehadkan ujian saringan Covid-19 kepada kontak terdekat yang bergejala sahaja, ia jelas membuktikan bahawa sistem penjagaan kesihatan kita sudahpun tidak mampu lagi untuk menghadapi lonjakan kes Covid-19.

Sistem 3T yang membabitkan proses penyaringan, pengesanan dan perawatan (testing, tracing, treating) berada dalam keadaan kekurangan sumber yang amat tertekan.

Oleh itu, kerajaan perlu segera mengembangkan keupayaan 3T kerana langkah ini paling berkesan melawan Covid-19 dan melindungi ekonomi rakyat berbanding sekatan pergerakan.

Malah, penglibatan sektor swasta amat dialu-alukan.

Sim berkata, walaupun KKM sedang berbincang dengan jaringan hospital swasta untuk berkongsi beban merawat pesakit Covid-19 dan pesakit lain tetapi kerajaan perlu memahami bahawa hospital swasta yang tidak dibiayai wang cukai seperti hospital kerajaan.
Gaji para pekerja hospital swasta pula bergantung kepada pendapatan hospital daripada yuran perubatan pelanggan.

Berikutan itu, kerajaan perlu memberikan subsidi kepada rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan di hospital swasta sama ada untuk Covid-19 ataupun penyakit lain dalam tempoh pandemik. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: