KUALA LUMPUR: Risiko penurunan pertumbuhan ekonomi susulan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dan pengisytiharan darurat dijangka tidak seteruk yang dijangkakan, demikian pandangan penganalisis AmBank Research.
Ketua Ahli Ekonomi AmBank Research, Dr Anthony Dass, berkata memandangkan PKP 2.0 dan pengisytiharan darurat bertujuan untuk mengawal penularan COVID-19 dengan sektor ekonomi utama beroperasi seperti biasa, gangguan terhadap perniagaan adalah kurang berbanding pelaksanaan PKP sebelum ini.
Beliau berkata, PKP 2.0 dilihat tidak begitu ketat memandangkan sektor utama seperti pembuatan, perindustrian, pembinaan, perkhidmatan, pengedaran dan perdagangan, perladangan dan komoditi dibenarkan beroperasi.
Sektor berkenaan, katanya, mempunyai peranan penting dalam menyokong bekalan keperluan asas, memastikan rantaian bekalan tanpa gangguan dan menyokong infrastruktur kritikal dan kerja kecemasan.
"Daripada pengalaman lalu dengan PKP, terdapat prosedur operasi standard (SOP), logistik dan infrastruktur bekerja dari rumah yang lebih jelas. Tidak banyak gangguan terhadap perniagaan, dengan orang ramai menjadi lebih bersedia dengan kesedaran yang tinggi.
"Ini digabungkan dengan pakej rangsangan RM325 bilion yang dijangka dilaksanakan dengan pantas dan berkesan; pertumbuhan kukuh eksport susulan pemulihan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global dan perdagangan serta harga komoditi yang tinggi dengan semakan semula menaik 2021," katanya dalam nota penyelidikan.
Harga minyak mentah Brent dijangka berlegar antara AS$50 dan AS$53 setong berbanding sebelum ini antara AS$42 dan AS$45 setong, sementara minyak sawit mentah (MSM) dijangka berlegar secara purata sekitar RM3,000 hingga RM3,200 satu tan berbanding sebelum ini sekitar antara RM2,500 ke RM2,600 satu tan.
Dass berkata, dengan pandangan penularan virus pandemik dijangka reda dalam enam hingga 12 bulan, ekonomi domestik secara keseluruhan akan bertahan dengan baik.
Bagaimanapun, tegasnya, adalah penting untuk menyedari bahawa terdapat beberapa kemerosotan awal daripada pelaksanaan semula langkah ketat yang dijangka lebih dirasai pada separuh pertama 2021.
"Dengan andaian kapasiti ekonomi keseluruhan dalam tempoh ini beroperasi sekitar 50 peratus hingga 60 peratus pada suku pertama 2021 dan meningkat kepada 70 peratus hingga 80 peratus pada suku kedua 2021, selain pelonggaran beransur-ansur langkah ketat dan ekonomi beroperasi seperti biasa pada separuh kedua 2021, maka pengurangan KDNK domestik adalah antara 0.6 peratus dan 1.3 peratus.
"Ini bermakna, unjuran KDNK 2021 sebanyak 6.5 peratus kini akan
berlegar sekitar 5.2 peratus dan 5.9 peratus. Aliran meningkat kepada
pertumbuhan masih kekal, bergantung kepada luaran dan domestik,"
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan