Bernama
Pelaksanaan
SJR kali ini lebih tegas dengan pasukan PDRM akan menjadi barisan
hadapan dengan dibantu pihak tentera bagi memastikan usaha mengekang
pandemik
COVID-19 berjaya. - Gambar fail
KUALA LUMPUR:
Sekatan jalan raya (SJR) oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh
negara akan diadakan kembali, seperti yang pernah dilaksanakan pada 18
Mac tahun lepas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri
Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata,
pelaksanaan SJR kali ini lebih tegas dengan pasukan PDRM akan menjadi
barisan hadapan dengan dibantu pihak tentera bagi memastikan usaha
mengekang pandemik COVID-19 berjaya.
“Sekatan
jalan raya akan kembali seperti dulu dan kini di semua kawasan termasuk
yang terletak di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan
Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Walaupun
pihak ATM (Angkatan Tentera Malaysia) mempunyai kuasa yang sama dengan
pihak polis (untuk mengadakan sekatan jalan raya sekiranya perlu) di
bawah ordinan darurat yang baharu, tetapi kita (ATM) telah bersetuju
bahawa kita hanya akan membantu sahaja,” katanya dalam sidang media
mengenai perkembangan pelaksanaan PKP hari ini.
SJR akan bermula ditingkatkan tengah malam ini.
Di SELANGOR, Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara akan melakukan tiga SJR dan empat penutupan jalan bagi daerah berkenaan.
Ketua
Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh
berkata, tiga SJR adalah di Lebuhraya Selat Klang Utara di hadapan Pusat
beli belah AEON Bukit Raja; Plaza Tol Bukit Raja (arah Klang ke Shah
Alam) dan Batu 10 Jalan Kapar (dari arah Kuala Selangor ke Klang).
Di JOHOR,
Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, 51 SJR
diadakan di seluruh negeri ini melibatkan penugasan seramai 1,040
pegawai dan anggota polis dan menurutnya penguatkuasaan prosedur operasi
standard (SOP) ketika PKP juga akan diperhebat lagi.
Di PERAK,
Ketua Polis Negeri, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, 16 SJR
akan didirikan di sempadan negeri bermula tengah malam ini dan 352
pasukan pemantau pematuhan SOP akan digerakkan di seluruh negeri bagi
memastikan PKPB yang dilaksanakan di Perak dipatuhi.
Sementara itu, di PULAU PINANG,
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, 39 SJR
akan dijalankan membabitkan 1,142 anggota polis, tentera, Jabatan
Sukarelawan dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia sepanjang tempoh
pelaksanaan PKP di negeri berkenaan.
"Selain
menjalankan pemeriksaan di kawasan SJR turut dilaksanakan pemantauan di
premis-premis termasuk kawasan tumpuan pelancong dan rekreasi,"
katanya.
Di TAWAU, polis
melaksanakan sembilan sekatan jalan raya Op COVID-19 berikutan PKP di
seluruh Sabah dan Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter
Umbuas turut mengingatkan orang ramai supaya tidak keluar rumah
sekiranya tiada keperluan atau tanpa alasan yang dibenarkan.
Mulai
tengah malam ini SJR akan dilakukan di Kilometer 50 Check Point; Jalan
Tiku; Batu 2 1/2 Jalan Apas; Jalan Kuhara; Jalan Tawau Lama; Jalan
Tanjung Batu; Jalan Utara; Simpang Jambatan Putih dan Road Chek Point
(RCP) di Jalan Kalabakan.
Di TERENGGANU,
Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, lima SJR termasuk di
bahagian sempadan akan dilakukan berikutan PKPB di negeri itu.
“Kita ada 544 pegawai dan anggota untuk menjalankan SJR dan rondaan di semua tempat termasuk kawasan kampung.
"Saya
amat berharap semua pihak dapat memahami tujuan sekatan ini dan
patuhilah SOP yang telah ditetapkan,” katanya dan menambah tiga lokasi
SJR di Kemaman iaitu di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Perasing, Paya
Berenjut dan Tol Cheneh manakala di Besut, melibatkan Pachakan dan Tok
Saboh.
Di PAHANG, Ketua
Polis negeri, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, jumlah anggota bagi
penugasan SJR mencukupi meskipun kini ramai anggotanya yang berkhidmat
di lapangan akibat banjir melanda sembilan daerah di negeri itu.
Beliau
berkata, kawalan di sempadan negeri juga akan diperhebatkan selain
lokasi SJR dijangka melibatkan lebih daripada 20 kawasan.
Di NEGERI SEMBILAN,
17 SJR di seluruh negeri itu akan dilaksanakan, antaranya di jalan
Lubok China/Melaka, Sungai Lui/Pahang, Tampin/Melaka dan Port
Dickson/Sepang serta di plaza tol susur keluar masuk dari Lebuhraya
Utara Selatan (PLUS) di tol Pedas, tol Seremban/Labu, tol Nilai/Plus,
tol Pajam/Mantin dan tol Setul/Lekas.
Ketua
Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, untuk tujuan
itu, seramai 150 pegawai dan anggota PDRM akan ditugaskan mengawal
laluan keluar masuk ke negeri ini dengan dibantu seramai 140 anggota ATM
serta 60 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
Sementara
itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee
Mohd Faisal pula dalam satu kenyataan memaklumkan Ibu Pejabat Polis
Daerah (IPD) Petaling Jaya akan melaksanakan tujuh penutupan jalan di
beberapa kawasan pentadbirannya sehingga PKP ditamatkan.
Lokasi
terlibat ialah jalan 4/56 Gasing Indah, Petaling Jaya; Jalan Persiaran
Mahogani, Kota Damansara; Jalan Persiaran Jati, Kota Damansara; dan
Jalan Persiaran Sungai Buloh, Kota Damansara; Lampu Isyarat PJU 8/1
Damansara Perdana; susur keluar Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) ke
Mutiara Damansara/Damansara Perdana; dan laluan masuk tol Damansara ke
Bayu Putri.
"Orang ramai dinasihatkan
agar terus berada di rumah serta mematuhi PKP agar jaringan wabak
COVID-19 dapat diputuskan,” katanya dalam kenyataan. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan