Rabu, 13 Januari 2021

Kuching dilanda banjir kilat awal pagi

Afiezul Samit
Kuching dilanda banjir kilat awal pagi
21 mangsa daripada enam keluarga di Kampung Betong Kenawit 
dipindahkan susulan banjir. - Astro AWANI
 
KUCHING: Hujan luar biasa melebihi 14 jam menyebabkan beberapa kawasan di negeri itu dinaiki air awal pagi tadi.
 
Ia bertambah buruk apabila bertembung dengan fenomena air pasang besar, menyebabkan sistem baraj tidak dapat mengeluarkan air dengan pantas.
 
Di Kuching, tinjauan Astro AWANI mendapati, antara lokasi terjejas termasuklah kawasan Seberang Hilir, Kampung Kudei dan Sungai Maong, Tabuan Dayak, Taman Malihah, Segedup, Sinar Budi dan Stapok.
 
Beberapa lokasi jalan yang masih dalam pembinaan, juga mengalami banjir kilat, dipercayai kerana sistem perparitan.
 
Manakala di Blok B, Hospital Umum Sarawak, air naik ke paras lutut, dipercayai kerana parit besarnya tidak mampu menampung jumlah air yang banyak.
 
Sementara itu, menurut Pemangku Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Sarawak, Ismail Mahedin berkata, setakat jam 4 pagi tadi, hanya sebuah pusat pemindahan dibuka di negeri itu.
 
"Ia melibatkan 21 mangsa daripada enam keluarga di Kampung Betong Kenawit yang dipindahkan ke dewan kampung berkenaan," katanya.
 
Menurut Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Henderi Ardimansyah, sehingga tengah malam tadi pihaknya telah menerima 12 panggilan kecemasan berhubung banjir dan mengaktifkan respons segera.
 
Antaranya melibatkan kawasan Jalan Kuala Tatau, Sungai Setulan; Jalan Kampung Bunuk, Kampung Segu Bunuk; Kampung Surik, Stapok dan Kampung Sinar Budi, Batu Kawa.
 
Lokasi lain Kampung Tabuan Dayak; Jalan Penrissen, Batu 6 1/2; Taman Desa Wira; Kampung Segong, Singai; Taman Hwata, Batu 3, Kuching; Jalan Ensengei, Kampung Rimba Padi; Jalan Rock 2L dan Lorong Sungai Maong Ulu.
 
Pada masa yang sama, berlaku satu kejadian tanah runtuh di kawasan Singai, menyebabkan penduduk kini dinasihatkan mencari jalan alternatif.
 
Kawasan selatan dan tengah Sarawak dijangka akan terus menerima taburan hujan luar biasa pada hari ini dan esok.

Tiada ulasan: