MALAYSIAKINI
Najib Razak hari ini secara sinis menyindir keputusan kerajaan yang memberikan kebenaran beroperasi kepada kedai yang dianggap bukan keperluan asas rakyat.
Melalui media sosial bekas perdana menteri itu berkata ada pihak yang bersungguh-sungguh mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) membenarkan syarikat gergasi perabot Sweden, Ikea, serta kedai emas beroperasi ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) berlangsung.
"Macam-macam alasan diberi. Kedai perabot dibuka sebab mungkin ada keperluan ganti perabot yang musnah dalam banjir.
"Malah, kedai emas dibuka kerana ada setengah kedai emas yang juga beli emas dan ini perlu sebab mungkin ada mereka yang memerlukan cash (tunai) segera," katanya.
Sebab itu, kata ahli parlimen Pekan itu lagi, dia tidak sabar untuk membaca apa alasan penyokong PN mengenai kebenaran beroperasi yang diberikan kerajaan kepada kedai pakaian dalam mewah terkenal Victoria's Secret.
"Pakaian dalam mewah juga barangan keperluan masa PKP ke?" katanya.
Pada 11 Jan lalu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKP ke atas beberapa negeri untuk tempoh 14 hari bermula 13 Jan sehingga 26 Jan sebagai langkah mengekang penularan wabak Covid-19.
Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung.
Jelas Muhyiddin, perintah itu melibatkan tiga peringkat pelaksanaan iaitu, PKP dikenakan ke atas lima buah negeri dan tiga wilayah persekutuan iaitu Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
PKP bersyarat (PKPB) pula dikenakan ke atas Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Manakala PKP Pemulihan (PKPP) pula akan dilaksanakan bagi negeri Perlis dan Sarawak dan akan diteruskan sepanjang tempoh tersebut.
Bagaimanapun Kelantan dikenakan PKP mulai semalam.
Semalam, Najib mempersoalkan keputusan kerajan membenarkan perniagaan besar terus beroperasi tetapi pada masa sama peniaga kecil tidak dibenarkan berbuat demikian.
Najib berkata, kerajaan perlu adil kepada semua pihak, serta mempersoalkan apakah gedung perabot itu termasuk dalam perkhidmatan perlu (essential service).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan