Sabtu, 16 Januari 2021

KKM perlukan 3,000 sukarelawan untuk ujian vaksin Covid-19

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memerlukan 3,000 sukarelawan untuk membolehkan ujian klinikal mengenai keberkesanan dan keselamatan vaksin Covid-19.

Melalui pemberitahuan yang dikeluarkan KKM berkata sesiapa saja yang berusia sekurang-kurangnya 18 tahun boleh menawarkan diri menjadi sukarelawan berkenaan.

Menurut KKM mereka akan menyertai ujian klinikal fasa ketiga untuk vaksin yang dibangunkan Institut Biologi Perubatan Akademi Sains Perubatan China (IMBCAMS).

Berdasarkan poster yang dikongsi KKM di media sosial malam tadi, sukarelawan diperlukan bagi menyumbang dalam usaha mencari vaksin yang selamat dan berkesan demi melindungi orang ramai daripada Covid-19.

Ujian itu akan bermula pada 21 Jan ini.

Untuk sesiapa yang berminat mereka boleh berhubung dengan sembilan hospital yang ditetapkan, iaitu:

  • Hospital Sungai Buloh, Selangor (011-1004 5343)
  • Hospital Ampang, Selangor (016-728 6617)
  • Hospital Raja Permaisuri Bainun Hospital, Ipoh Perak (011-6331 1654)
  • Hospital Taiping, Perak (019-854 6373)
  • Hospital Pulau Pinang, George Town (016-521 3055)
  • Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang (014-906 5518)
  • Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar Kedah (019-554 4976)
  • Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani Kedah (017-793 1938)
  • Hospital Umum, Kuching Sarawak (012-310 8108)

"Semua keperluan peraturan termasuk kelulusan etika Jawatankuasa Perubatan dan Etika dan Lesen Import Percubaan Klinikal daripada Agensi Regulatori Farmaseutikal Kebangsaan diperolehi pada 8 Jan lalu," kata KKM.

Fasa ketiga merupakan pusingan terakhir ujian sebelum sebarang vaksin atau ubat diluluskan untuk kegunaan umum.

Poster KKM menyatakan sukarelawan mungkin lali kepada Covid-19, dan diuji untuk wabak itu menggunakan kaedah RT-PRC.

pada sisi lain, mereka berdepan risiko kesan terhadap suntikan vaksin seperti pembengkakan, sakit, demam, dan cirit-birit.

Kajian berkenaan adalah sebahagian daripada ujian lebih menyeluruh membabitkan 34,020 peserta di China, Malaysia dan Brazil.

Menurut maklumat yang diberikan separuh daripada peserta akan ditugaskan secara rawak untuk menerima vaksin atau plasebo.

Setiap kumpulan akan disuntik dengan bahan yang ditentukan dalam dua dos dengan selang 14 hari. Sebagaimana amalan terbaik untuk kajian tersebut, sukarelawan atau pengawanya tidak akan mengetahui apa yang diterima oleh setiap sukarelawan agar hasilnya benar-benar neutral.

Isu keselamatan sukarelawan akan diperhatikan sejak dos pertama hingga 28 hari selepas dos kedua. Sebagai tambahan, peserta akan ditindak lanjut hingga 12 bulan setelah dos kedua untuk mencari tanda-tanda kesan buruk yang serius setelah divaksin.

Mereka juga akan dipantau untuk kedua-dua gejala Covid-19 atau hasil ujian positif untuk menilai keberkesanan calon vaksin.

Tiada ulasan: