Rabu, 13 Januari 2021

MAPIM tak setuju kerajaan isytihar darurat

Muhammad Azizul Osman
MGF08012021_MAPIM-2
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penyerahan Replika Cek Bantuan Selimut Untuk Musim Sejuk Kashmir oleh MAPIM di Kedutaan Pakistan, Kuala Lumpur. Foto AFIQ HAMBALI,

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) hari ini menegaskan pelaksanaan Proklamasi Darurat oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak menepati Perlembagaan.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan semula sudah cukup memadai untuk mengekang penularan Covid-19.

“Ini adalah krisis kesihatan awam, bukan ancaman kepada keamanan atau keselamatan nasional. Terjejas ekonomi negara hanya memerlukan pembaikan dalam pengelolaan dan pengurusan yang telus dan berintegriti, bukan darurat.

“Dalam soal Covid-19, apa yang perlu dilakukan ialah memperkukuhkan kapasiti sistem kesihatan dan memastikan semua langkah pencegahan dipertingkatkan,” tegas MAPIM dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Azmi merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkata Proklamasi Darurat diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bukan suatu bentuk rampasan kuasa tentera atau penguatkuasaan perintah berkurung.

Malah, daripada segi pentadbiran kerajaan, jemaah menteri dan majlis mesyuarat kerajaan negeri-negeri akan terus berfungsi mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Tambah Mohd Azmi lagi, pengisytiharan darurat mempunyai kesan negatif kepada pelaburan dan kelancaran ekonomi negara.

“Pemulihan ekonomi akan terhalang dan keupayaan untuk membantu pengusha kecil dan sederhana akan menjadi sangat sukar.

“Walaupun Perdana Menteri menjamin pengurusan negara berjalan seperti biasa, namun rakyat tidak lagi yakin kerajaan yang sedia ada mampu menyelesaikan masalah.

“Para usahawan sangat resah dengan cara kerajaan membuat keputusan sehingga banyak yang gulung tikar akibat keputusan yang tidak bijak untuk memungkinkan perniagaan bertahan,” kata badan itu lagi.

Sementara itu, MAPIM berkata kesan daripada darurat boleh merencatkan perjalanan demokrasi.

Malah pelaksanaannya telah menghapuskan institusi semak dan imbang yang sangat perlu dalam sebuah sistem kerajaan demokratik.

“Apabila PM mempunyai kuasa mutlak untuk melakukan apa sahaja di luar undang-undang, negara ini akan bergerak kepada pemerintahan diktator.

“Kami berpendapat PKP bersasar cukup untuk mengekang pandemik sementara vaksin Covid-19 dijangka akan dapat mengurangkan kes jangkitan.

“Sewajarnya menangani Covid-19 seperti di negara lain iaitu memastikan PKP yang berkesan, dilaksanakan, bukan memilih mengumumkan darurat,” katanya lagi.

Semalam, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menolak rasional serta alasan yang diberikan Muhyiddin kononnya kuasa-kuasa darurat diperlukan untuk menyelamatkan Malaysia dari ancaman Covid-19. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: