KUALA LUMPUR – Pengisytiharan Proklamasi Darurat oleh Yang Dipertuan Agong (YDPA) wajib ditaati kerana selaras dengan tuntutan Islam.
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Nasruddin Hassan berkata, pihaknya dan Majlis Amal Islami Malaysia yang menaungi lebih 300 NGO menjunjung taat setia kekpada YDPA.
“Sudah pasti sebagai rakyat jelata, kita wajib mentaati arahan Pemerintah yang adil dan bertanggungjawab. Sementelah urusan ini termasuk dalam tuntutan agama dan menepati maqasid syariah bagi menjaga nyawa rakyat dan kemakmuran negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Nasrudin, YADIM sebagai institusi dakwah utama negara sudah pasti menyokong penuh segala usaha yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan berdasarkan statistik semasa Covid-19 yang sangat serius peningkatannya yang telah mencemaskan negara.
“Di antara perkara utama Proklamasi Darurat ialah mencadangkan pembentukan satu jawatankuasa bebas yang akan dianggotai oleh ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar-pakar kesihatan amatlah bertepatan disamping urusan memperkasakan perpaduan negara dapat dipupuk sebaiknya merentasi kaum dan agama serta merentasi ideologi politik dapat dizahirkan demi kepentingan rakyat dan kemakmuran negara,” ujarnya lagi.
Sebagai langkah berkesan memutuskan rantaian Covid19, YADIM menyeru dan merayu kepada semua pemimpin NGO Islam dan pemimpin masyarakat serta rakyat agar terus berdisiplin mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) juga semua perintah yang telah ditetapkan.
YADIM katanya, akan terus memainkan peranan yang berkesan bagi menjadi jambatan menyampaikan informasi dan agenda negara diantara kerajaan dan rakyat.
YADIM jua memberi komitmen tinggi untuk melestarikan gerakerja dalam menyampaikan dakwah, memberi kesedaran dan peringatan kepada umat Islam dan masyarakat keseluruhannya, ujarnya.- MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan