Selasa, 5 Januari 2021

Kerajaan akan umum kos pampasan pembatalan HSR - Mustapa

Nickyson Nyambar
Kerajaan akan umum kos pampasan pembatalan HSR - Mustapa
Mustapa berkata, kerajaan akan meneliti modal dan kos yang telah dibelanjakan 
bagi melaksanakan projek HSR itu. - Astro AWANI
 
KUALA LUMPUR : Kerajaan memberi jaminan untuk mengumumkan jumlah sebenar pampasan yang perlu dibayar berikutan pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura setelah ia dimuktamadkan.
 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata wang yang akan digunakan adalah wang rakyat, justeru jumlahnya akan didedahkan.
 
"Walau bagaimanapun, perkara berkenaan belum dimuktamadkan. Oleh yang demikian, adalah tidak wajar untuk kerajaan bertindak mendedahkan jumlah berkenaan pampasan pembatalan projek HSR.
“Ia tertakluk kepada klausa kerahsiaan dan masih belum dimuktamadkan.
 
“Jadi saya berharap rakyat faham perkara ini... saya ingin beri jaminan apabila dimuktamadkan, pihak kerajaan akan maklumkan kepada rakyat. Kerana ini adalah wang rakyat, jadi sudah pasti kerajaan akan maklumkan,” katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama Astro AWANI pada Isnin.

BACA: Jumlah pampasan bagi pembatalan projek HSR tidak boleh didedahkan - Mustapa
BACA: Projek HSR: Pampasan, KL-JB, kerugian? - Ini penjelasan Tok Pa
 
Mengulas lanjut, Mustapa menjangkakan pampasan yang perlu dibayar kepada Singapura lebih rendah daripada S$270 juta.
 
“Jumlah pampasan bagi penamatan projek HSR tersebut, lebih rendah berbanding jumlah yang telah dibelanjakan oleh Singapura iaitu S$270 juta.
 
“Menteri Pengangkutan Singapura, Ong Ye Kung ada menyatakan dalam Parlimen bahawa jumlah itu mengandungi beberapa komponen.
 
“Pertamanya kos konsultan, kos tenaga kerja dan lain-lain kos. Beliau juga menyatakan bahawa pampasan itu tidak termasuk kos tanah,” katanya.
 
Dalam pada itu, Mustapa memberitahu Malaysia masih berminat untuk meneruskan projek penting berkenaan.
 
"Cuma apa yang menghalang ketika ini adalah pergelutan ekonomi negara, selain pandemik COVID-19 yang melanda dunia ketika ini.
 
“Kerajaan berpendapat bahawa projek kereta api laju ini mempunyai manfaat besar kepada negara. Cuma kita perlu membuat kajian bagi menjimatkan kos dan modal.
 
“Dari segi ekonomi, Malaysia menerima faedah kira-kira RM300 bilion. Jadi, oleh sebab itu negara kita masih berminat untuk mengekalkan projek penting,” katanya.
 
BACA: Pampasan penamatan HSR: Singapura telah belanja S$270 juta
BACA: HSR terbatal: Singapura tidak dapat terima keengganan Malaysia kekalkan AssetsCo - Menteri

Tiada ulasan: