Ahad, 10 Januari 2021

Kecewa runtuh tiap kali banjir, penduduk Kg Temalir bina jambatan guna batang kayu

Malaysiakini

Bagi penduduk Kampung Temalir di Kuala Krai Kelantan, jambatan yang boleh dikira usang dengan lapisan kayu rongak itu adalah laluan pemudah kenderaan kecil mereka ke jalan pekan.

Asalnya ia diadukan kepada pihak kerajaan. Namun kerana tiada tindakan kukuh diambil, akhirnya penduduk setempat mengambil inisiatif sendiri memulihkan jambatan tersebut.

Namun binaan itu amat sederhana sifatnya. Ia sesuai dengan kemampuan mereka yang terhad.

Justeru kejadian yang sama akan berlaku berulang-ulang kali setiap musim tengkujuh. Jambatan hasil tangan orang kampung itu akan musnah dibawa arus deras.

Aduan kemudian dibuat lagi.

Kata penduduk kampung apabila ia berlaku pihak yang berkenaan akan datang untuk mengambil gambar dan mengambil ukuran itu dan ini. Namun akhirnya jambatan yang diimpikan masih belum menjelma.

"Begitulah yang berlaku sejak 2014 dulu," kata salah seorang penduduk kampung terbabit, Jefriman Mohamed.

Menurutnya orang kampung hanya mengharapkan pihak kerajaan negeri membaik pulih jambatan sedia ada.

"Bukannya kami minta jambatan baru," katanya kepada Malaysiakini.

Sehingga kini kata lelaki berusia 52 tahun itu tidak ada tindakan meyakinkan diambil termasuk daripada pihak wakil rakyat.

"Sudahnya kami orang kampung bina semula jambatan itu menggunakan pokok kelapa, kayu, pokok durian.

“Tapi biasalah, yang buat semua 'jurutera kampung', maka setiap tahun akan runtuh juga, akan hanyut juga dek banjir.

"Setiap tahun jugalah kami perbaiki balik,” katanya.

Dia yang sudah 10 tahun tinggal di kampung itu mengakui memang terdapat laluan alternatif untuk menggantikan jalan yang runtuh berkenaan.

Masalahnya, kata Jefriman, ia tidak sesuai untuk semua kenderaan kerana keadaan muka buminya yang berbukit.

Justeru katanya ia hanya sesuai untuk dilalui kenderaan pacuan empat roda.

Kata Jefriman dengan runtuhnya jambatan bikinan jurutera kampung itu sekali lagi, ketika ini kira-kira 100 penduduk kampung dari 27 keluarga terputus hubungan.

"Mereka tidak boleh kemana-mana. Beginilah yang berlaku setiap tahun," katanya.

Seorang lagi penduduk Kampung Temalir Moktar Mohamed, 51, berkata jambatan yang dibina ‘jurutera kampung’ itu juga tidak mampu menampung kenderaan empat roda.

“Sejak jambatan itu kami yang bina, kami dah tak beri kebenaran kereta lalu. Kereta nak lalu pun tidak boleh. Goyah tu, tunggu masa nak runtuh,” katanya lagi.

Dia juga menjelaskan, keadaan jambatan yang goyah itu turut menyebabkan beberapa kemalangan pernah berlaku.

“Dah ada lima motosikal jatuh (dari jambatan). Setiap tahun ada saja yang akan kemalangan ketika lalui jambatan itu,” katanya yang sudah mendiami kampung itu sejak kecil.

Mohamad Zulfakar Mohd Zamri pula bercerita bagaimana datuknya sendiri telah jatuh motor di jambatan tersebut dan menjadi sebab kepada khabar yang lebih menyedihkan.

“Dua kali dah atuk jatuh, saya yang ambil, lalu motor jah (saja) terus jatuh.

“Atuk sampai sakit-sakitlah, kemudian terus meninggal. Kami (sekeluarga) rasa sebab dia jatuh motor tu,” katanya.

Jelas Zulfakar yang sudah 22 tahun mendiami kampung berkenaan, dia berharap wakil rakyat di situ dapat membantu membaiki jambatan itu supaya tiada lagi kemalangan berlaku.

“Saya ini sebenarnya macam dah putus harapan, orang kampung pun sama. Tapi kami tetap ada harap jugalah. Wakil rakyat, datanglah baiki jambatan.

“Berapa lama kami kena guna jambatan goyah dan berapa ramai lagi kena jatuh motor?” katanya.

Hujan lebat atau berterusan yang mula melanda Pantai Timur sejak akhir Dis tahun lalu menyaksikan beberapa petempatan di Kelantan, Terengganu dan Pahang dinaiki air.

Meskipun bencana alam yang melanda Kelantan tidak seburuk kejadian pada 2014, kerosakan dan kesulitan dialami penduduk setempat tetap menjerihkan.

Sementara itu, Adun Manik Urai, Mohd Fauzi Abdullah ketika dihubungi Malaysiakini berkata, pihaknya sudah mengambil maklum dan meneliti keperluan jambatan di kampung tersebut.

Jelasnya, peruntukan pembangunan Kuala Krai yang diberikan kerajaan sudah disediakan dan ia termasuk rancangan pembinaan semula jambatan tersebut.

“Saya sudah maklum dan teliti jambatan itu. Kita juga sudah ada peruntukan tahun ini untuk membina jambatan itu.

“Kami juga harap dapat memperbaiki jambatan itu secepatnya. Insya-Allah,” katanya.

Tiada ulasan: