PASIR SALAK: Seorang wanita menggalas tugas berat membesarkan empat anak yang masih kecil setelah suaminya terlantar akibat penyakit darah tinggi kronik.
Mazliza Nadzri, 34, berkata, sebelum ini suaminya, Mohd. Zaidi, 34, menyara keluarga dengan menjalankan perniagaan menjual ayam di pasar namun kini terlantar sejak dua bulan lalu.
Katanya, akibat penyakit yang dihidapi, suaminya tidak dapat bergerak dan hanya boleh minum susu.
“Saya sukar membawa suami menjalani rawatan susulan di klinik kerana badannya besar, sukar untuk mengangkatnya ke dalam kereta. Jika panggil pihak kesihatan datang ke rumah, ini melibatkan kos selain bayaran untuk tiub dari hidung yang perlu ditukar setiap minggu.
“Di mana saya nak dapatkan wang untuk kos rawatan suami. Memang ada jiran dan adik-beradik membantu, tetapi sampai bila hendak mengharapkan bantuan mereka,” katanya ketika ditemui di Chenderong Balai di sini baru-baru ini.
Empat anak pasangan itu ialah Siti Nor Athirah, 15; Mumamad Hafiz Naim, 9; Siti Nor Athiqah, 7; dan Siti Nor Ahhilah yang berusia empat tahun.
Sementara itu, Siti Nor Athirah berkata, dia dan adik-adiknya memberi sokongan kepada ibu dengan membantu menjaga bapa mereka.
Dia berasa sedih melihat keadaan ibunya yang terpaksa mengharungi hidup dalam keadaan sedemikian.
“Saya kasihan melihat emak yang tak cukup tidur kerana menjaga ayah. Saya berharap ada pihak yang sudi membantu kami sekeluarga,” katanya. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan