Jumaat, 13 November 2020

Belajar daripada negara lain kekang penularan Covid-19

MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu belajar daripada negara lain yang mempunyai teknologi baharu dalam mengekang penularan pandemik Covid-19 di negara ini.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui Malaysia telah menangani pandemik itu dengan baik namun ada negara yang mencatatkan kejayaan lebih baik.

Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi turut menyifatkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan ketika ini memberi kesan buruk kepada sektor ekonomi dan pelancongan.

“Apabila orang sihat kena kuarantin, termasuk semasa lockdown, daya keluar, produktivitinya tidak dapat menyumbang kepada ekonomi. 

“Lebih ramai orang yang sihat dikuarantin daripada mereka yang sudah dijangkiti,” ujarnya dalam ucapan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 hari  ini.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, negara akan berdepan krisis politik andai Belanjawan 2021 tidak diluluskan sehingga menyebabkan pembaziran masa serta  wang.

“Jika ia  tidak lulus, pada lazimnya Perdana Menteri perlu letak jawatan. Akan jadi pula satu krisis politik,” jelasnya.

Beliau turut menarik perhatian, kerajaan perlu menambah peruntukan dalam Belanjawan 2021 bagi menangani pandemik Covid-19 dengan berkesan.

Katanya, peruntukan RM3 bilion yang diperuntukkan bagi tujuan menangani pandemik berkenaan tidak mencukupi.

“Ia tidak mencerminkan tindakan serius kerajaan bagi mengekang penularan wabak Covid-19,”katanya .

Menurutnya peruntukan tersebut perlu ditangguhkan dahulu dengan  mengutamakan perbelanjaan berkaitan Covid-19. -UTUSAN

Tiada ulasan: