Jumaat, 13 November 2020

Usahawan kosmetik, adik ditahan dalangi sindiket dadah

 Oleh SITI ROHAIZAH ZAINAL

  Arjunaidi Mohamed (tengah) menunjukkan barang rampasan kes pada sidang akhbar berhubung kejayaan JSJN di Auditorium, Tingkat 1, Menara 1, IPK Selangor pada hari ini. - UTUSAN/ Zulfadhli Zaki

SHAH ALAM: Seorangnya usahawan kosmetik bergelar Datuk Seri ditahan bersama adiknya yang merupakan anggota tentera di tahan dalam satu serbuan kawasan Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan Selasa lalu kerana dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah.

Mereka menggunakan  modus operandi menjadikan Malaysia sebagai negara transit sebelum mengedarkan bekalan barang terlarang itu negara jiran.

Dalam serbuan kira-kira 4.30 petang itu, kedua dua mereka yang berusia  25 dan 31 tahun itu, ditahan bersama dadah jenis syabu seberat 126.85 kilogram yang dibungkus dalam bungkusan teh cina bernilai kira-kira RM5 juta.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, serbuan tersebut melibatkan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bersama Ibu Pejabat Polis (IPD) Serdang.

Menurutnya, hasil serbuan, pihaknya telah menahan dua lelaki warga tempatan menaiki kenderaan jenis Ford Mustang dan menemukan dadah jenis syabu dalam bungkusan teh cina.

“Hasil siasatan, telah membawa kepada penahanan tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia berusia 32 hingga 43 tahun di kawasan yang sama. Dua warga tempatan terbabit merupakan ahli sindiket ini manakala lelaki warga asing yang pasportnya telah tamat tempoh dipercayai orang tengah bagi urusan jual beli dadah.

“Pemeriksaan mendapati kesemua mereka positif dadah dan salah seorang daripada mereka mempunyai 19 rekod jenayah lampau.

“Kita turut merampas tiga buah kenderaan iaitu Nissan Almera, Toyota Innova dan Honda HRV dalam serbuan kedua ini,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Selangor di sini hari ini.

Dalam pada itu, Arjunaidi berkata, siasatan lanjut mendapati, dadah jenis syabu itu diseludup dari negara jiran yang terletak di Utara seterusnya melalui Pantai Timur ke Pantai Barat sebelum diedarkan di negara jiran lain.

“Hasil siasatan mendapati kenderaan Ford Mustang yang dianggarkan bernilai RM500,000 didaftarkan di bawah nama isteri kepada anggota tentera terbabit.

“Berdasarkan dadah yang dirampas, kita percaya mampu membekalkan kepada 253,700 penagih dalam masa sehari dengan mengambil kiraan penggunaan 0.5 gram,” ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga Selasa hadapan bagi membantu siasatan.-UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: