KANGAR : Kursus Sijil Kecekapan Fiber Optik, inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) Kementerian Pengajian Tinggi-Career Advancement Programme (Penjana KPT-CAP) mencapai matlamat apabila kesemua 30 graduan yang menyertainya di Kolej Komuniti Arau berjaya mendapat kerja selepas tamat kursus tersebut.
Pengarah Kolej Komuniti Arau, Zainuddin Yahya berkata, kolej tersebut merupakan salah satu daripada Politeknik dan Kolej Komuniti dari seluruh negara di bawah Kementerian Pengajian Tinggi yang dipilih sebagai penganjur bagi mengendalikan kursus Penjana KPT-CAP.
Katanya, seramai 20 peserta yang terdiri daripada pelajar Kolej Komuniti Arau, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Kolej Komuniti Jempol, Kolej Komuniti Padang Terap, Kolej Komuniti Bandar Darulaman, dan Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Polimas) dipilih menyertai kursus tersebut.
Jelasnya, peserta yang terpilih adalah terdiri daripada pelajar dari kursus Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Diploma Kejuruteraan Elektonik (Optoelektronik), Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komputer), Sijil Teknologi Elektrik dan Sijil Sistem Komputer dan Rangkaian.
“Kursus ini dikendalikan oleh NurKamal Network Sdn. Bhd. dengan kerjasama Moritech Services yang merupakan syarikat berpengalaman luas dalam bidang kejuruteraan awam termasuk pemasangan fiber optik dan produk telekomunikasi. Kursus ini mencapai matlamat apabila kesemua peserta telah diambil bekerja di syarikat NurKamal Network Sdn. Bhd.
“Pelaksanaan PENJANA KPT-CAP Sijil Kecekapan Fiber Optik diharap dapat melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi yang diperlukan oleh industri serta memastikan matlamat utama kerajaan untuk membantu rakyat mendapatkan pekerjaan tercapai,” katanya pada majlis penutupan Kursus Sijil Kecekapan Fiber Optik di sini, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai Penjana KPT-CAP, Zainuddin memberitahu, seramai 1,312 peserta dari institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) akan menerima manfaat dan dilatih menggunakan peruntukan sebanyak RM5 juta yang diterima oleh Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) di bawah pelan itu.
Katanya, peserta yang layak terdiri daripada graduan Diploma Politeknik pada Disember 2019 dan graduan Sijil Kolej Komunti pada Jun 2020 yang belum bekerja.
“Pemilihan peserta dibuat berdasarkan permohonan yang diterima melalui portal Graduates Reference Hub for Employment and Training (GREaT),” katanya. -UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan