KUALA LUMPUR – Jika lebih dua dekad yang lalu, Saad Mahmud masih gagah berkhidmat untuk negara dengan menjalankan tugas sebagai seorang anggota tentera, kini keadaan beliau jauh berbeza.
Menghidapi sakit buah pinggang, jantung dan darah tinggi hampir setahun, beliau yang berusia 58 tahun tidak lagi mampu bergerak pantas.
Menghidapi beberapa penyakit berkenaan membuatkan Saad longlai, tidak lagi kuat, sebaliknya hanya mampu duduk di kerusi.
Kehilangan isteri lebih kurang setahun lalu yang berpunca daripada sakit buah pinggang, Saad kini dijaga oleh empat orang anak perempuannya yang tinggal sebumbung di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas di Setapak.
Air mata bekas anggota tentera itu akhirnya tumpah juga ketika berkongsi kesedihannya dengan MalaysiaGazette kerana kehilangan kudrat untuk menyara keempat-empat anak perempuannya yang mana salah seorangnya merupakan Orang Kurang Upaya (OKU).
“Walaupun suatu ketika dulu saya kuat bekerja. Allah dah beri saya dugaan begini saya kena terima.
“Dulu saya bekerja, selepas keadaan saya macam ini, saya rasa sedih patutnya saya masih boleh lagi menyara anak-anak tapi saya tidak dapat dalam keadaan umur saya masih muda saya tidak dapat menyara anak saya,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Saad berkata, tahap kesihatannya tidak menentu sehingga perlu bergantung dengan ubat selain kerap dimasukkan ke hospital.
“Hari Khamis baru-baru ada juga pergi hospital ambil ubat, mula-mula sebelum itu masuk hospital tujuh hari. Keluar, tak sampai sebulan masuk lagi dua minggu ini,” kata beliau.
Pada raut wajah bekas tentera itu, tergambar penghargaan dan rasa terharunya kepada empat anaknya yang sanggup menjaga dan mengutamakannya berbanding kehidupan masing-masing.
“Di rumah ini lima oranglah termasuk saya, anak-anak semua belum kahwin paling dewasa 31 tahun, merekalah yang menjaga saya,” tambahnya.
Enggan menyusahkan anak-anaknya, Saad sentiasa berharap agar beliau kembali sihat, seterusnya tidak bergantung dengan keempat-empat anaknya.
Dalam pada itu, menjadi salah seorang penerima sumbangan Barang Asas 100 (BA100), Saad rasa terharu kerana diingati oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa).
“Saya rasa terharu Angkasa beri bantuan, masih ada pihak-pihak yang mengingati dan masih ingat kepada orang-orang yang kurang berkemampuan macam saya,” ujarnya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan