Selasa, 10 November 2020

Tidak wajar tutup masjid, surau dalam tempoh panjang – Perdim

Wartawan MalaysiaGazette
MGF061120_TINJAUAN-SOLAT-JUMAAT-8
Kerajaan diminta mengkaji semula tindakan menutup masjid dan surau di dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta mengkaji semula tindakan menutup masjid dan surau di dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia.

Ini kerana intitusi masjid dan surau adalah elemen sosio-budaya yang amat penting dalam masyarakat Islam.

Masjid dan surau juga berfungsi sebagai tulang belakang bagi aktiviti agama masyarakat Islam.

Presiden Persatuan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim), Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail berkata, menutup dan tidak membenarkan aktiviti di masjid dan surau akan melemahkan jati diri dan kekuatan ummah

MGF06122019_SIDANG-MEDIA-PERDIM10
Dr. Ahmad Shukri Ismail

Beliau berkata, sepatutnya pada waktu kesukaran dan ketidaktentuan menghadapi wabak Covid-19, umat Islam amat memerlukan semangat dan kekuatan kerohanian.

Maka adalah tidak bijaksana meneruskan halangan mendekati masjid dan surau untuk suatu tempoh yang panjang, katanya.

Dr Ahmad Shukri berkata, beberapa ulama dan pakar kesihatan turut mempersoalkan kewajaran penutupan masjid dan surau ini.

”Perdim yang dianggotai oleh para profesional perubatan klinik-klinik & hospital-hospital swasta dari seluruh Malaysia sentiasa akur dengan keperluan menggunakan kaedah sains perubatan dan kesihatan yang guna pakai dalam merangka dan melaksanakan prosedur standard operasi (SOP) seperti mana yang diamalkan sekarang.

”Akan tetapi Perdim juga tanpa ragu meyakini bahawa apa-apa ilmu perubatan dan kesihatan yang diguna pakai mestilah sentiasa dipandu oleh syariat Islam,” tegasnya.

Hujahnya, Perdim mengambil pendirian bahawa penutupan masjid dan surau serta menghalang aktiviti-aktiviti umat Islam adalah langkah yang tidak lagi sesuai dilaksanakan.

Oleh itu, Perdim memohon kepada pihak berkuasa agar segera mempertimbangkan pembukaan semula masjid dan surau dan membenarkan aktiviti-aktiviti keagamaan demi kepentingan agama dan seluruh umat Islam di Malaysia.

Bahkan, menurutnya, bagi orang-orang yang beriman segala musibah yang berlaku mempunyai hikmahnya dam musibah virus korona yang sedang merebak sekarang ini adalah satu amaran kecil dari Allah agar manusia kembali kepadaNya .

Nabi Muhammad SAW mengajar umat Islam supaya sentiasa berdoa kepada Allah agar terhindar daripada segala penyakit dan wabak.

Antara doa yang boleh kita amalkan ialah: Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudharatan di bumi mahupun di langit, Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Ia dibaca sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga Subuh.

Dan barang siapa yang membacanya ketika subuh sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga petang (malam).” – [HR Abu Daud 5088]

Ya Allah aku berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk. – [HR Abu Daud 1554], katanya.

Bagaimanapun, kata Dr Ahmad Shukri, pembukaan semula masjid dan surau mestilah dilaksanakan dengan SOP yang lebih mantap supaya kepentingan kesihatan rakyat sentiasa terjaga. MalaysiaGazette

Tiada ulasan: