Rabu, 11 November 2020

Tiada sejarah digigit, lelaki 42 tahun maut akibat rabies

Athirah Huda Zalhe

 

Sarawak belum bebas rabies, jika digigit secara dapat rawatan

BANGI – Seorang lelaki berusia 42 tahun meninggal dunia pada 20 Oktober lalu akibat dijangkiti wabak rabies, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, dengan pengesahan terbaharu itu menjadikan kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak meningkat kepada lima orang setakat tahun ini.

Katanya, pertambahan itu juga adalah kes ke-27 sejak wabak rabies diisytiharkan di Sarawak pada 31 Julai 2017.

“Kes adalah seorang lelaki berumur 42 tahun. Beliau dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak pada 15 Oktober 2020 kerana mengalami lemah anggota badan dan tidak mampu berjalan.

“Beliau juga mengalami kesukaran tidur akibat halusinasi, kurang selera makan dan kesukaran untuk minum sebelum dimasukkan ke hospital.

“Kes ini telah meninggal dunia pada 20 Oktobero 2020 jam 6.53 pagi dengan diagnosa rabies encephalitis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, siasatan mendapati tiada sebarang sejarah gigitan anjing atau haiwan lain berlaku kepada kes ini.

Katanya, mangsa ada memelihara tujuh ekor kucing, di mana lima ekor mendapat suntikan vaksin antirabies dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) sehari selepas kes mengalami gejala.

“Kesemua kucing ini sihat dan tiada perubahan tingkah laku. Keluarga kes memaklumkan tiada haiwan yang didapati sakit atau mati dalam tempoh enam bulan di kawasan lokaliti rumah kes.

“Walaupun kes ini tidak dapat dikaitkan dengan sejarah gigitan anjing atau haiwan, secara umumnya diketahui bahawa jangkitan rabies disebabkan oleh gigitan haiwan terjangkit dengan virus rabies (rabid animal),” katanya.

Disebabkan Sarawak masih belum bebas rabies, KKM menasihatkan orang awam supaya segera mendapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital berhampiran jika digigit oleh haiwan liar mahupun peliharaan.

“Pastikan haiwan peliharaan telah mendapat suntikan vaksin antirabies.

“KKM dan JKN Sarawak komited dan akan mempertingkatkan kerjasama dengan kerajaan negeri Sarawak, Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta agensi-agensi lain bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya.

Tiada ulasan: