Rabu, 11 November 2020

Pencemaran Sg Selangor: Polis temui 4,000 liter bahan buang berjadual

Siti Hafidah

 

Diletak dalam 40 tong di sebuah premis kira-kira 300 meter dari loji

BANGI – Sebanyak 40 tong berisi 4,000 liter bahan buangan berjadual ditemui di dalam sebuah premis yang disyaki menjadi punca pencemaran Loji Rawatan Air (LRA) Kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) di Taman Velox, Rawang.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Arifai Tarawe berkata, premis itu terletak di Jalan Velox 2 dan lokasinya kira-kira 300 meter dari loji tersebut.

Memetik laporan Astro Awani, beliau berkata, premis tersebut didapati baru sahaja beroperasi selama dua minggu dan dipercayai merupakan stor bagi menyimpan bahan buangan.

Berdasarkan siasatan awal, beliau juga tidak menolak kemungkinan wujudnya unsur sabotaj dalam kes tersebut.

Media melaporkan, sebuah stor pembuangan sisa terjadual di Taman Velox, Rawang disyaki menjadi punca kepada pencemaran Sungai Selangor yang menyebabkan henti tugas LRA Sungai Selangor Fasa (SSP) 1, 2, 3 dan Rantau Panjang, tengah hari semalam.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian berkata, serbuan bersepadu telah dilaksanakan oleh polis, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) ke atas premis berkenaan yang terletak kira-kira 700 meter berhampiran Sungai Gong, semalam.

“Hasil serbuan tersebut kita menjumpai hos dan premis berkenaan didapati membuang sisa terjadual ini ke dalam tandas. Polis juga telah mengenal pasti pemilik premis itu,” katanya.

Tambah beliau, tindakan premis terbabit yang membuang sisa terjadual ke dalam tandas disyaki menjadi punca loji rawatan kumbahan IWK Sdn Bhd menerima sisa buangan berwarna merah dan ia dipercayai berlaku pada 4 November lepas.

Tiada ulasan: