Ahad, 22 November 2020

Tiada satu pun data ujian klinikal vaksin Covid-19 diperoleh

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM
NOOR HISHAM ABDULLAH

PUTRAJAYA: Malaysia belum memperoleh sebarang keputusan data ujian klinikal fasa ketiga daripada mana-mana vaksin Covid-19 yang dibangunkan firma farmaseutikal luar negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, data berkenaan perlu diteliti pihaknya terlebih dahulu bagi memastikan vaksin yang diperoleh berkesan dan selamat untuk digunakan rakyat negara ini.

Kata beliau, sehingga hari ini, data ujian klinikal vaksin itu belum diterbitkan untuk membuktikan keberkesanaannya dan tidak hanya bergantung kepada laporan media semata-mata.

“Kita masih menjalankan rundingan untuk mendapatkan vaksin. Kita tidak berkata vaksin itu tak berkesan tetapi masalahnya kita belum ada data ujian kinikal yang membuktikannya. Lagipun ketika ini hanya media yang melaporkan kononnya vaksin PFizer berkesan 90 hingga 95 peratus terhadap pesakit.

“Kita tidak boleh cepat membuat kesimpulan dan keputusan hanya berdasarkan laporan itu, kita mahu dapatkan data ujian klinikal yang rasmi terlebih dahulu sebelum tindakan lanjut,” katanya dalam taklimat khas Covid-19, di sini hari ini.

Sebelum ini, pelbagai laporan media antarabangsa dan dalam negara mengulas berhubung sebuah firma farmaseutikal mendakwa tahap keberkesanan vaksin yang dibangunkan mereka.

Dalam hal itu, Noor Hisham berkata, pihaknya perlu memastikan vaksin itu didaftarkan di National Drug Regulatory Agency (NDRA) untuk tindakan lanjut.

Selain itu, beliau menjelaskan, kementerian akan menilai pada data dan bukannya melihat syarikat mana yang mencipta vaksin itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Bahagian Penyelidikan dan Sokongan Teknikal, Dr.Hishamshah Mohd. Ibrahim menjelaskan, pada masa ini terdapat puluhan syarikat terlibat dalam pembangunan vaksin Covid-19.

Ujar beliau, Jawatankuasa Dasar Vaksinasi dan pemilihan Vaksin di bawah Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin ditubuhkan bersama Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mempunyai 20 pakar dari pihak kerajaan dan swasta untuk menilai dan memilih vaksin terbaik.

“Buat masa ini ada beberapa syarikat sudah melengkapkan fasa ketiga kajian klinikal tetapi mereka wajib mengemukakan kesemua hasil kertas kerja, data ujian berkaitan yang membabitkan lebih 1,000 muka surat untuk diteliti.

“Namun keputusan data yang dihantar ke Lembaga Pembangunan Makanan (FDA) Jumaat lalu hanyalah analisis bersifat interim dan Vaksin Pfizer and Moderna belum ke tahap yang diperlukan dan memutuskan untuk melakukan analisis interim selepas lebih 194 siri ujian untuk menentukan hasilnya.

“Daripada analisis itu kita akan menilai sama ada vaksin itu efektif atau sebaliknya jika digunakan untuk pesakit kita tetapi perlu ingat bahawa analisis interim itu tidak hanya bersandarkan satu aspek sahaja sebaliknya banyak lagi butiran lain yang perlu diteliti,” jelas beliau.

Katanya, pelbagai usaha dilakukan Malaysia dengan kerjasama agensi luar negara seperti FDA dan Agensi Perubatan Eropah (EMA) dalam mendapatkan vaksin.

Bagaimanapun, kata beliau, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) akan menilai kesemua dokumen dan keputusan sebelum merujuk kepada panel pakar yang dilantik untuk tindakan sewajarnya.

Ini termasuk, katanya, syarikat farmasi negara ini pernah menjalankan perintis percubaan vaksin namun mereka tidak bersedia memandangkan gelombang pertama dan kedua tahap jangkitan sangat rendah. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: