JOHOR BAHRU : Bermula Ahad ini, mana-mana individu yang mempunyai sejarah perjalanan dalam tempoh 14 hari ke Malaysia termasuk transit perlu menjalani notis tinggal di rumah (SHN) selama 14 hari di kemudahan disediakan.
Kementerian Kesihatan Singapura dalam kenyataan memaklumkan, ketetapan itu juga merangkumi inisiatif Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA).
Kementerian itu sebelum ini mengumumkan bahawa pengembara dari Malaysia dibenarkan untuk menjalani SHN selama tujuh hari di tempat kediaman mereka kecuali dari Sabah yang diwajibkan untuk menjalani 14 hari di kemudahan khusus.
“Semua pengembara yang memasuki Singapura dari pukul 11.59 malam pada 27 November yang mempunyai sejarah perjalanan dalam 14 hari terakhir ke Malaysia akan diminta untuk menjalani ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) Covid-19 dalam masa 72 jam selepas waktu tiba.
“Pengecualian diberikan kepada warga Singapura dan Penduduk Tetap (PR),” kata kenyataan itu.
Kementerian itu menambah, mereka perlu mengemukakan hasil ujian Covid-19 negatif yang sah sebagai syarat kelulusan untuk memasuki Singapura.
“Syarat ini tidak termasuk untuk pengembara yang berpangkalan di Singapura berdasarkan RGL Singapura-Malaysia,” katanya.-UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan