Nur Fazlizai Ali
Seperti
ibu lain, Mala juga tidak mahu melihat pengakhiran anaknya sedemikian
rupa, namun, dia
juga akur tidak mampu untuk melawan qada dan qadar. -
Gambar Astro AWANI
HULU TERENGGANU:
Sekalipun pahit untuk ditelan, namun, tiada apa lagi yang mampu
dilakukan oleh Mala (bukan nama sebenar) selain daripada menyerahkan
kepada pihak berkuasa untuk menentukan masa depan anaknya.
Mala
yang juga ibu kepada suspek tragedi berdarah pembunuhan remaja Siti Nur
Surya Ismail, 19, di rumahnya di Kampung Lubuk Batu, Hulu Terengganu,
Ahad lalu sudah habis kata-kata untuk menceritakan kesedihan yang
bersarang di jiwa.
Seperti
ibu lain, Mala juga tidak mahu melihat pengakhiran anaknya sedemikian
rupa, namun, dia juga akur tidak mampu untuk melawan qada dan qadar.
Ketika kunjungan Astro AWANI ke kediamannya hari ini, nyata riak wajahnya menyimpan seribu rasa yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata.
Cemuhan, sindiran serta lemparan kata-kata yang tidak sedap kendengaran di telinga mula diterima Mala sekeluarga.
Mengakui
bukan mudah untuk menerima tekanan sedemikian rupa, namun ketenangan
akan hadir setiap kali mengadu kepada Yang Maha Esa.
Dalam
situasi sekarang, apa yang mampu dilakukan Mala ialah menerima dengan
lapang dada sebaik anak kesayangan ditahan pihak berkuasa bagi membantu
siasatan.
Apapun, kata Mala, dia telah
redha sejak hari pertama lagi anaknya ditahan dan baginya biarlah pihak
berkuasa dan neraca keadilan yang menentukan untung nasib anaknya itu.
Bagi
ibu malang itu, tiada kewajipan untuk mempertahan pada setiap kesalahan
oleh siapa sahaja, tetapi, naluri sebagai ibu, doa buat anaknya tidak
pernah lekang dipanjatkan .
Jauh di sudut
hati, Mala mengakui, kepada anak sulungnya itulah tempatnya selama ini
bergantung harap dan mengadu nasib jika ada perkara yang perlu dikongsi.
“Selama
ini dia dengar kata saya, sebab saya hidup serba kekurangan, tak pernah
mengeluh. Kalau mengadu pun pada dia hanya mengenai kesusahan hidup
yang kami lalui, maklumlah saya hanya tukang cuci sahaja.
“Dia
hanya bercakap tak apalah ma, kakak (panggilan buat suspek) bela nasib
kita nanti kalau kakak dapat kerja. Dia nak jadi cikgu. Dia anak baik...
boleh kongsi masalah. Tapi sekarang ini saya serah kepada polis, tapi
kak tetap berdoa,” kata Mala meluah perasaannya dalam wawancara dengan Astro AWANI.
Mala
yang juga ibu kepada dua orang anak berkata, sepengetahuannya,
Allahyarham Surya merupakan rakan baik anaknya, bahkan mereka amat
menyayangi antara satu sama lain.
Dalam
perbualan yang sarat dengan kepiluan dan kekesalan ekoran kejadian itu,
Mala berkata, sukar untuk dia membayangkan dengan apa yang berlaku pada
nasib Allahyarham Siti Nur Surya.
Dan,
jauh di sudut hati, Mala sememangnya menyimpan hasrat pada hari pertama
kejadian lagi untuk menziarahi keluarga Allahyarhan yang diakuinya
sebagai keluarga yang baik pekerti mereka.
Bahkan,
keperibadian Siti Nur Surya juga, kata Mala, amat disenanginya kerana
Allahyarham merupakan seorang anak yang baik dan taat pada ibu bapa
serta menghormati orang tua.
“Tentulah
saya teringin sangat untuk pergi berjumpa sendiri dengan keluarga
Allahyarham Surya. Mereka orang baik. Tanggungjawab dan kewajipan saya
untuk pohon kemaafan atas segala yang berlaku.
“Mereka
tentunya terlalu sedih yang sukar digambar lebih daripada saya. Tapi
buat masa sekarang urusan saya sekeluarga dengan pihak polis agak banyak
dan saya akui berada dalam keadaan terkejut dan tertekan.
“Insya-Allah saya akan pergi (ziarah keluarga Allahyarham Siti Nur Surya),” ujar Mala dalam nada yang sangat sayu.
Bercerita
lanjut, Mala berkata, kemiskinan yang dilalui keluarganya itu
menyebabkan anaknya terpaksa menolak beberapa tawaran melanjutkan
pelajaran ke universiti kerana kekangan kewangan.
Bagaimanapun, jelas Mala, anaknya itu tidak pernah merungut tentang kekurangan yang diharungi mereka selama ini.
“Pernah
juga sampai ke tahap terpaksa tangguh bayar duit yuran sekolah dia
kerana tidak ada duit. Nak buat macam mana,” ujar Mala.
Kenyataan ibu suspek itu turut diakui jirannya yang hanya mahu dikenali sebagai Beri, 52.
“
Dia (suspek) budak jenis jarang keluar rumah sebenarnya. Duduk di rumah
saja kebiasaannya yang setakat saya taulah. Tak ada pula saya dengar
dia pernah buat masalah apa. Tak sangka sungguh apa yang berlaku ini.
Susah nak percaya," katanya lagi.
Sehubungan
itu, Beri memohon kepada orang ramai agar tidak memperkatakan sesuatu
yang tidak sepatutnya mengenai suspek dan keluarga kerana ia tidaklah
seperti yang digambarkan.
Malah jika mengenali mereka sukar untuk percaya atau menerima apa yang berlaku itu disabitkan jirannya.
Ia
berikutan banyak yang dilihatnya dakwaan yang keterlaluan dan tidak
benar sama sekali perkara yang ditomah terhadap suspek dan keluarganya.
Pada Ahad, Siti Nur Surya dipercayai dibunuh di Kampung Lubok Batu, Telemong, Hulu Terengganu.
Mangsa
ditemui dengan beberapa kesan tikaman, dipercayai akibat senjata tajam,
di beberapa bahagian badan, termasuk putus pergelangan tangan kiri.
Polis
percaya penahanan suspek yang bersekolah bersama mangsa dari Tingkatan
Satu hingga Tingkatan Lima itu sekali gus membongkar motif kejadian
pembunuhan kejam itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan