Bernama
Pada
tahun ini, Sultan Nazrin berkenan mengurniakan darjah kebesaran dan
pingat negeri Perak kepada 147 penerima sahaja, jumlah yang agak terhad
berbanding sebelum ini. - Facebook pejabatsultanperak
IPOH:
Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia Menjunjung Duli dan Penganugerahan
Darjah Kebesaran Negeri Perak bersempena ulang tahun Hari Keputeraan
ke-64 Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang disambut hari ini,
ditangguhkan berikutan perkembangan semasa penularan wabak COVID-19.
Orang
Kaya Bendahara Seri Maharaja Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin berkata
istiadat itu akan diadakan pada satu tarikh yang akan ditetapkan
kemudian.
"Turut
ditangguhkan ialah acara-acara rasmi utama bersempena sambutan ulang
tahun Hari Keputeraan Sultan Perak seperti majlis santapan diraja dan
istiadat kawalan kehormatan," katanya pada sidang media di sini,
semalam.
Mohd Zahidi berkata pada tahun
ini, Sultan Nazrin berkenan mengurniakan darjah kebesaran dan pingat
negeri Perak kepada 147 penerima sahaja, jumlah yang agak terhad
berbanding sebelum ini.
Katanya
pengurniaan darjah kebesaran dan pingat pada tahun ini tertumpu kepada
pasukan barisan hadapan yang banyak berkorban masa dan tenaga menentang
serta mengekang penularan wabak COVID-19 terutamanya di negeri ini,
selain ahli akademik yang banyak berjasa kepada Perak, negara dan
antarabangsa.
"Pengurniaan ini diharapkan
dapat menyuntik dan menaikkan semangat serta moral pasukan barisan
hadapan secara keseluruhannya untuk terus berjuang demi memastikan
keselamatan rakyat negeri Perak daripada jangkitan wabak COVID-19,"
katanya.
Mohd Zahidi berkata mendahului
senarai penerima ialah Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi
Buang dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah
Sani yang menerima Darjah Seri Panglima Taming Sari (SPTS) membawa
gelaran Datuk Seri Panglima, manakala Setiausaha Kerajaan Negeri Perak
Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim menjadi penerima tunggal Darjah Dato'
Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Datuk.
Sementara
itu, seramai 11 individu menerima Darjah Dato' Paduka Mahkota Perak
(DPMP) yang membawa gelaran Datuk iaitu Naib Canselor Universiti Sultan
Azlan Shah Tan Sri Prof Dr Nordin Kardi; Pakar Perunding Kanan
Obstetrik, Ginekologi dan Uroginekologi, Jabatan Perkhidmatan Obstetrik
dan Ginekologi, Hospital Raja Permaisuri Bainun Datuk Dr A.Aruku Naidu;
dan Pengarah Kesihatan Keluarga, Bahagian Pembangunan Kesihatan
Keluarga, Kementerian Kesihatan Datuk Dr Faridah Abu Bakar.
Turut
menerima DPMP ialah Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi
Sekolah) Datuk Adzman Talib; Pengurus Besar Lembaga Air Perak Datuk
Ishak Abd Rahman; pensyarah Pusat Pengajian Sains Komputer, Universiti
Sains Malaysia Prof Datuk Dr Bahari Belaton; dan Pengasas dan Ketua
Pegawai Eksekutif Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa Prof
Datuk Dr Mohammad Hashim Kamali.
Penerima
lain ialah Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia Datuk Azemi Abdul Aziz;
Ketua Pengarah Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan
(SEARCCT), Kementerian Luar Negeri Datuk Chuah Teoh Ban; Pakar Perunding
Jabatan Surgeri Ortopedik, Fakulti Perubatan Universiti Malaya Prof
Datuk Dr Kwan Mun Keong dan Presiden Persatuan Kebangsaan Kanser
Malaysia Datuk Dr D. Saunthari.
Selain
itu, Sultan Nazrin berkenan menganugerahkan Darjah Dato' Pahlawan Taming
Sari (DPTS) yang membawa gelaran Datuk Pahlawan kepada lima penerima
iaitu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk
Razarudin Husain @ Abd Rasid; dan Timbalan Pengarah (Siasatan dan
Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Mior
Faridalathrash Wahid.
Turut menerima DPTS
ialah Ketua Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan,
Markas Angkatan Tentera Brig Jen Ir Datuk Anhar Anuar; Inspektor Jeneral
Markas Tentera Laut Laksamana Muda Datuk Muhammad Ruzelme Ahmad Fahimy
dan Pengarah Kesihatan, Bahagian Perkhidmatan Kesihatan, Markas Angkatan
Tentera Brig Jen Datuk Dr Nor Azam Jais.
Mohd
Zahidi berkata semua penerima SPTS, DPCM, DPMP, DPTS boleh menggunakan
gelaran masing-masing bermula pada hari ini (6 Nov) walaupun Istiadat
Menghadap Sembah Taat Setia Menjunjung Duli dan Penganugerahan Darjah
Kebesaran Negeri Perak ditangguhkan.
Selain
itu, beliau berkata Sultan Nazrin juga berkenan menganugerahkan Darjah
Paduka Cura Si Manja Kini (PCM) kepada sembilan penerima, 15 menerima
Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP), manakala sembilan dianugerahi Darjah
Ahli Cura Si Manja Kini (ACM).
Seramai 25
lagi menerima Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP), 27 dianugerahi Pingat
Pekerti Terpilih (PPT), Pingat Jasa Kebaktian (PJK) diberikan kepada 38
orang penerima manakala lima lagi mendapat Pingat Lama Perkhidmatan
(PLP).-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan