Rabu, 11 November 2020

Polis tahan 4 disyaki terbabit pencemaran bau di Sungai Selangor

Polis menahan 2 lelaki dan seorang wanita tempatan serta seorang warga Bangladesh 
yang disyaki terbabit dalam kes pencemaran bau di Sungai Selangor.

PETALING JAYA: Polis menahan 4 individu, termasuk seorang lelaki Bangladesh kerana dipercayai terbabit dalam pencemaran bau di Sungai Selangor semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat berkata, 4 individu yang terdiri daripada 3 lelaki dan seorang wanita berusia 33 hingga 43 tahun itu ditahan tengah malam tadi hingga awal pagi tadi di Gombak, Damansara serta Kelana Jaya.

Katanya, siasatan awal mendapati wanita itu ialah penama yang didaftarkan dalam Suruhanjaya Syarikat yang menyewa premis No 32 Jalan Velox 2 di Rawang.

“Seorang lelaki dan pekerjanya menumpang stok bahan kimia di premis sewaan tersebut. Dipercayai terdapat aktiviti membuang sisa kimia ke dalam satu lubang kumbahan di dalam premis itu yang disyaki mengalir ke kawasan tercemar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis akan mendapatkan perintah reman di Mahkamah Selayang pagi ini.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 430 Kanun Keseksaan, iaitu melakukan khianat dengan mendatangkan bencana terhadap perjalanan tali air sehingga menyebabkan susut bekalan air kepada manusia dan haiwan.

Terdahulu, sumber dipetik FMT berkata, pencemaran bau itu dikesan berpunca daripada sebuah kilang di Taman Velox di Rawang yang melupuskan buangan terjadual melalui lurang pembetung di dalam premis dan mengalir ke loji rawatan kumbahan Indah Water Konsortium.

Sumber dalam pasukan siasatan bersama itu berkata, hasil pemeriksaan di kilang itu menemui 40 tangki plastik mengandungi cecair pelbagai warna dan bau seakan-akan bau yang dikesan di loji rawatan kumbahan IWK dan 4 loji rawatan air yang dihentikan operasi semalam.

Semalam, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Zaini Ujang dipetik berkata, pencemaran bau air mentah di Sungai Selangor menyebabkan air loji rawatan kumbahan IWK di Taman Velox bertukar kepada warna merah dan mengeluarkan bau seakan-akan bawang busuk.

Loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas tengah hari semalam yang menjejaskan 1,139,008 akaun pengguna di 1,279 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Ini ialah gangguan bekalan air ke-7 yang berlaku di Lembah Klang tahun ini.

Tiada ulasan: