Isnin, 23 November 2020

Pindah rumah ibu saudara untuk dapatkan talian internet .

Oleh ROSALINDA MD SAID
 
PELAJAR Universiti Putra Malaysia (UPM) Nurul Farahanum 
Maaroff, 20, yang terpaksa berpindah ke rumah ibu saudaranya 
di Kampung Kua di Ajil, Hulu Terengganu berikutan capaian 
internet yang lemah bagi mengikuti kelas dalam talian.

HULU TERENGGANU: Capaian internet yang lemah di sekitar Kampung Bukit Ara di Ajil di sini memaksa seorang pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) berpindah ke rumah ibu saudaranya buat sementara bagi mengikuti proses pengajian secara maya yang lebih lancar.

Nurul Farahanum Maaroff, 20, berkata, keputusan itu diambil sejak semester tiga bermula pada 19 Oktober lalu berikutan sering ketinggalan dalam urusan tugasan termasuk semasa pembentangan dalam talian pada semester lepas.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Sains Biologi dengan Pendidikan ini berkata, dia kecewa dan tertekan dengan masalah capaian internet yang tidak memuaskan walaupun telah bertukar menggunakan khidmat dua syarikat telekomunikasi berlainan.

“Pada semester ini saya mahu belajar dengan lebih tenang tanpa stres, jadi saya memutuskan berpindah sementara ke rumah ibu saudara di Kampung Kua yang terletak kira-kira 15 minit dan pulang ke rumah pada hujung minggu apabila tiada kelas.

“Banyak cabaran yang dilalui pada semester lalu dan paling menyedihkan ialah semasa pembentangan berkumpulan bagi kelas Bahasa Inggeris apabila capaian internet tiba-tiba putus hingga menyebabkan saya terlepas sesi itu dan perlu melakukan semula bersama kumpulan lain sedangkan sudah berhempas-pulas menyiapkan tugasan tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Nurul Farahanum berkata, sejak daripada itu dia terpaksa keluar sejauh kira-kira 20 minit semata-mata untuk pergi ke Perpustakaan Awam Hulu Terengganu bagi mendapatkan capaian internet terutama jika terdapat pembentangan, ujian mahu pun peperiksaan di samping pergi ke kafe internet.

Katanya, walaupun melalui waktu sukar sepanjang semester lalu tetapi dia bersyukur dengan keputusan purata nilai gred (GPA) sebanyak 3.82 yang dicapai. UTUSAN.

Tiada ulasan: