Isnin, 23 November 2020

Arnab pun berlindung di pusat pemindahan banjir

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
ARNAB kesayangan Qurratu Aini Ramlan, 23, yang bernama 'chico' menjadi tumpuan penduduk lain di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek. -UTUSAN/ RASUL AZLI SAMAD

MELAKA: Bukan sahaja manusia, seekor arnab comel yang turut menjadi ‘mangsa’ banjir juga berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) apabila rumah pemiliknya di Kampung Pengkalan Minyak, di sini dinaiki air sehingga paras lutut.

Arnab berwarna cerah yang diberi nama Chico itu dibawa Qurratu Aini Ramlan, 23, ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek bersama sangkarnya bagi memastikan haiwan peliharaan itu tidak ditinggalkan bersendirian di rumah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Qurratu Aini berkata, dia bersama keluarga ditempatkan ke PPS tersebut sejak petang semalam apabila keadaan air di persekitaran rumah mereka naik mendadak ekoran hujan sejak pagi.

Katanya, ketika mereka sekeluarga sedang kelam kabut mengalihkan peralatan rumah untuk diselamatkan, dia tiba-tiba teringat dengan arnab yang dipelihara sejak awal bulan ini berada dalam sangkar di luar rumah.

“Pada masa itu, saya terus berlari melihat Chico di luar dan arnab itu dilihat terlompat-lompat seperti mahu menyelamatkan diri apabila air sudah menghampiri sangkarnya, mujur saya sempat alih ke tempat tinggi.

“Selepas itu, ketika trak bomba tiba untuk memindahkan kami, saya terus mengangkat arnab berkenaan terlebih dahulu ke atas kenderaan tersebut kerana tidak mahu tinggalkannya bersendirian di rumah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Qurratu Aini yang menolong ibunya berniaga kedai makan antara 73 penduduk daripada 22 keluarga yang ditempatkan di PPS SK Ayer Molek selepas pusat tersebut dibuka sejak petang semalam ekoran banjir melanda beberapa lokasi berhampiran.

Sementara itu, ujarnya, haiwan berusia tiga bulan itu diperoleh daripada seorang rakan dan amat manja dengan dirinya sehingga membawa masuk ke bilik untuk tidur bersama pada setiap malam.

“Arnab ini amat istimewa bagi saya kerana sejak semalam lagi nampak ia gelisah berada dalam sangkar dengan berlari ke sana sini seolah-olah mahu memberitahu sesuatu dan rupa-rupanya rumah kami dimasuki air pada hari ini sehingga terpaksa berpindah ke PPS.

“Cuma apabila situasi kelam kabut semasa membantu menyelamatkan peralatan rumah saya nyaris terlupa dan sebab itu saya bawa sekali Chico menumpang berteduh di sini supaya mudah memberinya makan seperti biasa,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: