Selasa, 10 November 2020

Pesara tentera maut jatuh dalam sawah

Shaiful Shahrin Ahmad
 
Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. FOTO ihsan pembaca

Parit Buntar: Pesara tentera ditemukan meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya terbabas ke dalam sawah padi di Parit Haji Manan, Kuala Kurau, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, dalam kejadian 9 pagi, mangsa Muhamad Fildaus Hashim, 57, bersama rakannya Mohd Jamri, 51, dikatakan melakukan kerja-kerja membaja di sawah padi miliknya di kampung itu.

Menurutnya, mangsa memaklumkan kepada rakannya mahu mengambil empat kampit baja yang disimpan di rumah rakannya kira-kira 30 minit kemudian.

"Berdasarkan keterangan saksi (rakan mangsa), dia kemudian melihat mangsa terjatuh ke dalam sawah padi bersama motosikalnya dalam keadaan tersembam.

"Saksi segera pergi mendapatkan mangsa dan mengangkatnya ke atas batas sawah dengan bantuan seorang penduduk yang melalui jalan itu.

"Menurut saksi, keadaan mangsa ketika itu kelihatan mencungap-cungap dan mereka kemudian memaklumkan kejadian itu kepada Klinik Kesihatan berhampiran dan Balai Polis Kuala Kurau," katanya dihubungi, di sini.

Beliau berkata, petugas klinik kesihatan yang tiba cuba memberikan rawatan awal kepada mangsa, namun disahkan sudah meninggal dunia.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Forensik Hospital Parit Buntar dan bedah siasat akan dilakukan esok selepas ujian saringan Covid-19 dijalankan.

Tiada ulasan: