Isnin, 23 November 2020

Penjawat awam Terengganu terima bonus RM800


KUALA TERENGGANU:
Lebih 13,000 penjawat awam di negeri Terengganu bakal menerima bonus sebanyak RM800 ringgit berbanding RM500 pada tahun sebelumnya.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penambahan insentif sebanyak RM300 itu susulan pandemik COVID-19 yang melanda negara ketika ini.

Beliau berkata, pembayaran itu dijangka dilakukan pada Januari ini termasuk untuk kakitangan kontrak.

“Bonus akan dibayar Januari ini Insya-Allah. Lebih kurang 13,600 penjawat awam di Terengganu… kita (penjawat awam) antara yang teramai berbanding negeri-negeri lain,” kata beliau.

Sementara itu, Dr Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang berkata, kerajaan negeri turut mewujudkan Tabung Pinjaman Perumahan Rakyat negeri dengan peruntukan RM50 juta.

Katanya, peruntukan itu disediakan bertujuan membantu rakyat khususnya golongan B40 membina rumah di atas tanah sendiri.

“Kita ambil pendirian untuk tidak mengenakan bunga ataupun faedah pada projek perumahan dan pinjaman perumahan… jadi sama juga dengan Pinjaman Pendidikan Rakyat di negeri Terengganu, (juga) tidak ada faedah,” ujar beliau lagi.

Beliau berkata demikian selepas membentangkan Belanjawan Terengganu 2021 dalam Persidangan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri ke-14 pada Isnin. - Astro

Tiada ulasan: