Ahad, 22 November 2020

Pengusaha kantin sekolah terpaksa jual “ayam sotong crispy” untuk teruskan hidup

Zaidah kini menjalankan perniagaan ayam dan sotong crispy di rumahnya.

Matanya bergenang bila ditanya bagaimana keadaannya sekarang sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Katanya, “Susah untuk diungkap, payah untuk diceritakan. Berat bahu yang memikul sudah tidak terasa. Bukan mudah untuk lalui semua ini tetapi inilah realiti yang harus kami tempuhi.”

Zaidah dan suami, pengusaha kantin sekolah yang terjejas 
akibat pandemik Covid-19.

Zaidah binti Ali, 43 dan suami, Azmi Bin Ithnin, 47, antara pengusaha kantin sekolah yang terkesan akibat Covid-19. Sesungguhnya pandemik ini benar-benar merubah kehidupan mereka sekeluarga.

Dari usahawan kantin sekolah yang berjaya, pasangan ini kini terpaksa mengusahakan perniagaan kecil-kecilan bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Baginya, 2020 adalah tahun yang sangat mencabar sehingga dia hilang punca pendapatan sebagai pengusaha kantin yang telah diusahakan selama hampir 10 tahun.

“Semuanya bagai mimpi, 2020 boleh dikira dengan jari berapa bulan sahaja kami beroperasi. Bukan sedikit kerugian yang terpaksa kami tanggung. Malah, sehingga hari ini tiada tanda-tanda yang mengatakan keadaan akan pulih seperti sediakala.

Keadaan kantin sekolah yang kosong.

“Ramai kawan-kawan pengusaha kantin sekolah yang menerima nasib yang sama. Kebanyakannya terpaksa menjual semua kelengkapan dapur, kerusi-kerusi dan peralatan kantin serta mula mencari alternatif lain untuk meneruskan hidup,” ujarnya.

Menurutnya lagi, stok makanan yang dibeli awal, ada yang dapat dipulangkan tetapi kebanyakannya terpaksa disedekah atau dibuang begitu sahaja.

Paling menyedihkan pekerjanya juga terpaksa mencari jalan sendiri untuk mencari sumber pendapatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan baru-baru ini.

Zaidah terpaksa melupakan kantin sekolah buat seketika dan 
mencari peluang perniagaan lain bagi menampung pendapatan 
harian.

“Dari 10 orang pekerja, kini hanya tinggal lima orang sahaja yang masih bertahan, itu pun mereka terpaksa mencari sumber pendapatan lain dahulu bagi menyara hidup,” ujar ibu kepada 2 orang cahaya mata ini.

Walau kantin tidak beroperasi kerana PKP, bil elektrik dan air di sana masih perlu dibayar.

Zaidah yang menjalankan pengusahaan kantin sekolah sejak 2009 ini terpaksa menggunakan wang simpanan untuk membayar bil-bil bulanan. Lebih memeritkan apabila pasangan suami isteri ini tidak menerima apa-apa bantuan selain dari Prihatin Nasional.

“Permohonan untuk bantuan perniagaan kami ditolak, saya sendiri tidak tahu atas alasan apa. Kontrak kantin pula tamat hingga hujung bulan ini dan kami masih menunggu keputusan permohonan dari enam tender kantin sekolah lain.

“Tetapi melihat pada keadaan sekarang, mungkin harapan kami tipis dan saya hanya mampu berdoa,” katanya yang pernah menerima Anugerah Kantin Terbaik Selangor pada 2014.

Bercerita mengenai liku-liku yang terpaksa dilalui sepanjang mengusahakan kantin sekolah, Zaidah mengakui itu semua cabaran yang harus ditempuhi dalam perniagaan namun pandemik Covid-19 memberi impak yang sangat besar buat pengusaha sepertinya.

Sotong potong “crispy”, walaupun pendapatan tidak seberapa 
tetapi dapat menampung belanja harian.

Menurut suaminya, Azmi, bagi menampung keperluan harian, mereka terpaksa berniaga “ayam sotong crispy” setiap hari.

“Sebenarnya kami sudah mula berniaga sejak bulan Julai lagi. Balik dari sekolah, kami akan terus berniaga di rumah pula. Pada mulanya jualan agak baik tetapi lama-kelamaan perniagaan makin perlahan. Apatah lagi bila PKPB dilaksanakan semula.

Ayam potong “crispy” yang menyelerakan.

“Sekarang ini, kami cuba berniaga makanan secara “online”, semoga ada sinar di situ,” ujar Azmi.

Sedar perlu menjalani hidup norma baharu, pasangan ini berhasrat untuk mencari perniagaan yang tetap dan tidak memerlukan ramai pekerja.

“Saya berharap satu hari nanti dapat membuka perniagaan francais seperti kedai serbaneka 7-Eleven yang menjanjikan perniagaan yang lebih stabil,” ujarnya.

Bagi mereka yang ingin menempah “ayam sotong crispy” Zaidah untuk majlis keraian, bolehlah menghubunginya di talian: 017-6296052.

Tiada ulasan: