Ahad, 22 November 2020

Kesatuan gesa Imigresen guna ‘digital stamping’ di pintu masuk negara, elak pemalsuan cop berulang

KPISM menyarankan ‘digital stamping’ dan pemerkasaan sistem mengesan 
rasuah untuk memastikan imej Jabatan Imigresen tidak tercalar dengan sebarang
penyelewengan kuasa.

PETALING JAYA: Kesatuan mewakili kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia mahukan jabatan itu menggunakan sistem ‘digital stamping’ untuk dokumen perjalanan di semua pintu masuk negara, susulan penahanan 33 pegawai yang disyaki terlibat dalam sindiket pemalsuan cop keselamatan.

Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) berkata, selain penggunaan teknologi digital itu yang terbukti berkesan di negara asing seperti Australia, Jabatan Imigresen juga harus memperkasakan sistem pengesanan rasuahnya.

“KPISM turut mencadangkan Jabatan Imigresen meluaskan skop audit ‘Anti-Bribery Management System (ABMS) di semua pintu masuk negara, (dan) memperbanyakkan pegawai integriti yang mempunyai sijil ‘Certified Integrity Officer’.

Dalam satu kenyataan, Presiden KPISM Norhisham Murujan turut menggesa Jabatan Imigresen untuk memperkemaskan SOPnya selain menggubal Pelan Anti Rasuah Imigresen yang holistik dan memastikan peruntukkan latihan mencukupi untuk meningkatkan kompetensi pegawai.

Terdahulu, FMT melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang timbalan pengarah Imigresen bagi membantu siasatan ke atas sindiket pemalsuan maklumat dan cop keselamatan yang melibatkan puluhan pegawai jabatan itu.

Menurut sumber, timbalan pengarah berkenaan yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan 2 lagi pegawai imigresen di tahan dalam ‘Operasi Selat’ yang dijalankan bersama SPRM dan Jabatan Imigresen.

Tiga suspek berkenaan antara 53 individu ditahan sejak 16 Nov lalu, termasuk 33 pegawai Imigresen di KLIA, klia2 serta Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bangunan Sultan Iskandar di Johor Bahru.

Wang tunai lebih RM800,000, 26 kereta mewah dan 4 motosikal berkuasa tinggi turut dirampas pihak berkuasa setakat ini.

Menurut Norhisham, kesatuan menyambut baik usaha Jabatan Imigresen dan SPRM membanteras salah laku rasuah di kalangan pegawainya, namun menegaskan, tahap integriti di jabatan itu tetap tinggi.

“KPISM berharap siasatan telus, adil dan profesional dapat dilaksanakan pihak berkuasa. KPISM berharap semua pihak lebih adil dalam membuat laporan. Ini bagi mengelakkan pegawai imigresen yang menjalankan tugas dengan penuh integriti menjadi mangsa dan dimalukan,” katanya.

Tiada ulasan: