Selasa, 3 November 2020

Pelajar Tingkatan Enam direman bantu siasatan kes bunuh rakan

Nur Fazlizai Ali
Pelajar Tingkatan Enam direman bantu siasatan kes bunuh rakan
Polis bertindak menahan pelajar Tingkatan Enam ini susulan keterangan yang diberi berhubung kejadian didapati sangat mencurigakan. - Foto Astro AWANI
 
MARANG: Seorang pelajar Tingkatan Enam direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes pembunuhan bekas rakan sekolahnya.
 
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda di Mahkamah Majistret di sini.
 
Suspek yang tiba di perkarangan mahkamah kira-kira jam 10 pagi ini, terdahulu ditahan selepas memberi keterangan di Balai Polis Telemong, Hulu Terengganu, kira-kira jam 7.30 pagi Ahad.
 
Tindakan diambil pihak polis susulan keterangan yang diberikannya berhubung kejadian didapati sangat mencurigakan.
 
Pada Ahad, Siti Nur Surya Ismail, 19 tahun, dipercayai dibunuh di Kampung Lubok Batu, Telemong, Hulu Terengganu.
 
BACA: Bapa harap pembunuh Siti Nur Surya terima balasan setimpal
BACA: Remaja perempuan jaga ibu sakit disamun, dibunuh kejam
BACA: Perselisihan faham motif pembunuhan remaja perempuan, bekas rakan sekolah ditahan
 
Mangsa ditemui dengan beberapa kesan tikaman, dipercayai akibat senjata tajam, di beberapa bahagian badan, termasuk putus pergelangan tangan kiri.
 
Polis percaya penahanan suspek yang bersekolah bersama mangsa dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima itu sekali gus membongkar motif kejadian pembunuhan kejam itu.

Tiada ulasan: