Sabtu, 21 November 2020

Nelayan selamat selepas sembilan jam berpaut pada pelampung pukat.

nurul
Nurul Hizam Zakaria

JOHOR BAHRU – Seorang nelayan tempatan ditemukan selamat selepas menempuh detik cemas terapung selama sembilan jam di laut akibat terjatuh dari bot semasa menangkap ikan di perairan Tanjung Sedili Kechil, dekat Kota Tinggi, semalam.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Abdul Aziz Abdullah, 57, yang terapung dengan berpaut pada pelampung pukat, ditemukan bot nelayan tempatan yang terlibat dalam pencariannya pada 6 petang di kedudukan kira-kira 5.1 batu nautika timur Tanjung Sedili Kechil.

“Terdahulu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menerusi Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima panggilan daripada APMM Zon Maritim Tanjung Sedili pada 4.50 petang berhubung penemuan sebuah bot tanpa pengemudi oleh komuniti maritim di kedudukan 3.1 batu nautika timur laut Tanjung Sedili Kechil.

”Bertindak atas aduan itu, bot Kilat 16 APMM segera diatur gerak ke lokasi kejadian dan menemukan bot gentian kaca lengkap dengan peralatan menangkap ikan tanpa pengemudi berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nurul Hizam berkata, bot Kilat 16 kemudian terus melakukan pencarian di sekitar kawasan bot itu ditemukan dengan dibantu tiga bot nelayan tempatan sebelum berjaya menemukan Abdul Aziz yang sedang terapung.

Beliau berkata, mengikut keterangan Abdul Aziz, nelayan itu turun ke laut secara berseorangan untuk menangkap ikan pada 6.40 pagi semalam sebelum berasa pitam pada kira-kira 9 pagi ketika hendak menurunkan pukat dan kemudiannya terjatuh ke laut.

Keadaan laut yang agak bergelora menyukarkan Abdul Aziz untuk berenang kembali ke bot dan hanyut mengikut arus, kata Nurul Hizam.

Beliau berkata, Abdul Aziz kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Tanjung Sedili untuk pemeriksaan lanjut.

Nurul Hizam yang berterima kasih kepada komuniti maritim yang membantu dalam pencarian itu turut menasihati komuniti berkenaan, terutama bot-bot kecil, agar tidak keluar berseorangan selain mengambil langkah keselamatan sewajarnya termasuk memiliki personal locator beacon (PLB).

“Orang ramai terutamanya komuniti maritim yang berdepan situasi kecemasan di perairan Johor Timur diminta supaya menghubungi talian hotline 24 jam Pusat Operasi Zon Maritim Tanjung Sedili di talian 07-8916595 atau talian kecemasan MERS 999 agar tindakan segera dapat diambil,” katanya. – Bernama

Tiada ulasan: