Sabtu, 21 November 2020

Apec pastikan pergerakan lancar barangan penting, kata Muhyiddin

Perdana Menteri dan Pengerusi Apec 2020 pada majlis perisytiharan Deklarasi Kuala 
Lumpur dan penyerahan jawatan pengerusi Apec kepada New Zealand sempena 
mesyuarat pemimpin ekonominya malam tadi. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) berikrar untuk tidak berpatah balik kebelakang dan menggunakan langkah perlindungan perdagangan dengan mengekalkan pasaran dan sempadan terbuka, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Apec 2020 itu berkata, ini termasuk memastikan pergerakan lancar rentas sempadan barangan penting seperti makanan, ubat-ubatan dan bekalan perubatan serta barangan keperluan lain semasa pandemik Covid-19 bagi memastikan rantaian bekalan tanpa halangan di rantau ini.

“Keutamaan segera Apec adalah bagi memastikan kesediaan institusi penjagaan kesihatan dan perubatan untuk menyediakan rawatan kritikal serta menguruskan dasar kesihatan awam untuk membendung penularan Covid-19.

“Dari perspektif ekonomi, impaknya adalah sangat teruk, dengan banyak syarikat dan perniagaan berdepan masalah, malahan ditutup.

“Selain itu rantau ini juga menyaksikan kadar kehilangan pekerjaan yang amat besar,” kata Muhyiddin pada sidang media maya di luar acara mesyuarat pemimpin ekonomi Apec di sini, malam tadi.

Beliau berkata, tanggungjawab Apec pada tahun ini memberi tumpuan kepada kepentingan pemulihan ekonomi pasca pandemik Covid-19.

“Tidak kurang pentingnya ialah mempercepatkan kerja membangunkan vaksin Covid-19 dan menjadikannya produk awam global, yang boleh didapati dan mampu milik kepada semua, iaitu vaksin yang multilateral,” katanya.

Muhyiddin berkata, skala impak yang besar daripada pandemik terhadap ekonomi Apec boleh menyebabkan pertumbuhan serantau merosot sebanyak 2.7% pada 2020, berbanding pertumbuhan 3.6% pada 2019, menjadikannya penurunan paling ketara sejak kadar pertumbuhan hampir sifar dicatatkan pada 2009 semasa krisis kewangan global.

Bagi vaksin Covid-19 katanya, semua pemimpin Apec menyatakan komitmen untuk bekerjasama dan menyokong antara satu sama lain bagi akses yang saksama kepada vaksin.

Gesaan penting kepada tindakan ialah deklarasi mengenai memudahcara pergerakan barangan keperluan di Apec yang dipelopori oleh Malaysia, katanya.

“Deklarasi ini bertujuan memastikan barangan perlu dapat melalui sempadan tanpa kekangan membabitkan langkah perdagangan yang tidak adil.

“Pengisytiharan ini akan membawa kepada aliran perdagangan dan pelaburan yang lebih kondusif dalam kalangan ekonomi Apec menerusi sistem perdagangan terbuka, cemerlang, telus serta mampan,” kata beliau.

Perdana menteri berkata, pemimpin APEC turut mengakui keperluan kritikal golongan yang paling teruk terjejas akibat pandemik tersebut serta kepentingan untuk memperkasa sektor ekonomi.

“Kita juga menyambut baik sumbangan sumber tambahan di serata Apec bagi menangani pandemik itu serta menyokong pekerja dan sektor terbabit menerusi proses pemulihan ekonomi,” katanya.

Muhyiddin turut menyifatkan mesyuarat Apec 2020 yang berlangsung di Kuala Lumpur sebagai titik penting bagi organisasi itu dalam usaha untuk bergerak melangkaui agenda Matlamat Bogor.

Tema mesyuarat Apec 2020 iaitu “Mengoptimumkan Potensi Insan Ke Arah Masa Depan Kemakmuran Bersama” juga berperanan sebagai panduan bagi pembangunan serta pelaksanaan dasar utama.

“Ini akan bergerak lebih jauh daripada Matlamat Bogor yang hanya menumpukan perdagangan dan pelaburan,” kata beliau.

Tiada ulasan: