Selasa, 10 November 2020

Musim tengkujuh bermula Rabu hingga Mac 2021

BERNAMA
 
GAMBAR HIASAN

Kuala Lumpur: Empat hingga enam episod hujan lebat yang signifikan dijangka berlaku dalam tempoh Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh di Malaysia, yang akan bermula Rabu ini dan berakhir pada Mac 2021.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan semasa fasa awal Monsun Timur Laut iaitu dari November sehingga Disember 2020, episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Manakala mulai Januari 2021, episod hujan lebat dijangka lebih tertumpu di Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak.

"Fasa kedua Monsun Timur Laut iaitu mulai hujung Januari 2021 seperti biasa dijangka cuaca agak kering di negeri-negeri di utara Semenanjung (Kedah, Pulau Pinang dan Perlis) dan Kelantan," menurut kenyataan itu.

Menurut MetMalaysia, hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan berkedudukan rendah dan kerap banjir.

Malah sekiranya hujan lebat berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan ribut, risiko kejadian banjir boleh menjadi lebih buruk.

Selain itu, tiupan angin Timur Laut secara berterusan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora dan ombak besar di perairan Laut China Selatan.

Justeru orang ramai dinasihatkan agar bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh dan sentiasa peka dengan amaran hujan lebat serta angin kencang dan laut bergelora yang dikeluarkan melalui laman web, aplikasi 'myCuaca' dan laman media sosial atau menghubungi talian hotline 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.

Tiada ulasan: