Tumpat: Tinggal di bangsal menyerupai kandang kambing. Itu nasib warga emas Rabiah Jusoh, 70, yang menghuni kediaman dibina dari kayu terbuang di Kampung Pauh Seratus, Pantai Geting di sini, sejak 12 tahun lalu.
Bangsal yang kelihatan amat uzur dan mempunyai ruang kecil itu dijadikan tempat olehnya untuk tidur, memasak dan solat.
Dinding dan lantai kediaman itu kini kian reput manakala bumbung bangsal sering diterbangkan angin ribut.
Rabiah berkata, dia tidak mahu menyusahkan tiga anaknya yang sudah berumah tangga dan hanya melakukan kerja kampung.
"Saya tidak mahu tinggal dengan mereka walau sering diajak kerana mereka juga susah dan perlu menanggung keluarga. Malah, ada salah seorang anak saya terlantar sakit strok.
"Rumah ini saya bina bersendirian sejak 12 tahun lalu secara sedikit demi sedikit bergantung kepada bahan binaan (kayu terbuang) yang dijumpai," katanya tadi.
Rabiah berkata, bangsal itu tidak dilengkapi dengan tandas menyebabkan dia terpaksa ke sungai.
Dia yang menyara hidup dengan mengambil upah mengopek ikan bilis hanya memperoleh RM10 untuk satu plastik besar mengandungi 10 kilogram ikan bilis.
"Sebelum ini saya kerja menyiang dan menjemur ikan di tempat proses ikan. Namun saya sudah tidak larat berjalan dan hanya bekerja di rumah.
"Dua hari masa diambil untuk siap mengopek satu plastik besar ikan bilis ini," katanya sambil memberitahu ada juga penduduk kampung menghulur makanan.
Nasib Rabiah mendapat perhatian kumpulan aktivis masyarakat, Cempaka Merah Asnaf Society yang segera memberi bantuan.
Wakil persatuan, Che Norhayati Mohamed berkata, pihaknya sudah menjalankan hebahan mengenai keadaan warga emas itu dan berhasrat untuk membantu membina rumah baharu untuk keselesaan Rabiah.
"Sudah ada beberapa pihak memberi bantuan dalam bentuk bahan binaan serta kewangan. Kami akan segera bina rumah baharu untuk Mak cik Rabiah," katanya.
Orang ramai yang ingin membantu menyalurkan dana buat Rabiah, boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Islam di bawah Cempaka Merah Asnaf Society iaitu 03072010137874.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan